Jangan dedah data peribadi di media sosial - Jailani

Sharom Abu Bakar
Mac 23, 2018 18:16 MYT
JAILANI: Apa benda atau maklumat yang berkaitan dengan peribadi seseorang tidak boleh dikongsi dengan semua orang.
Orang ramai diingatkan supaya tidak memuat naik sebarang dokumen peribadi di laman media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, dokumen tersebut boleh dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan.
Katanya, memuat naik salinan kad pengenalan individu bagi tujuan membantu mangsa bencana atau kemalangan di laman media sosial akan mendedahkan pemiliknya kepada risiko penipuan.
"Apa benda atau maklumat yang berkaitan dengan peribadi seseorang tidak boleh dikongsi dengan semua orang.
"Ini kerana jika maklumat tersebut jatuh kepada tangan orang lain, ia akan membawa musibah balik kepada pemiliknya," katanya di satu majlis di sini, hari ini.
Tambahnya, pihak yang manipulasi maklumat mangsa sehingga menimbulkan elemen fitnah terhadapnya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tindakan tegas juga boleh diambail di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 kerana menceroboh dan menggunakan maklumat tanpa kebenaran sehingga memudaratkan pemilik data.
#Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 #dokumen peribadi #Jailani Johari #kad pengenalan #media sosial #penipuan #Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
;