Jangan dahului mahkamah, Zuraida masih boleh buat rayuan - Mohamed Azmin
Umavathi Ramayah
Jun 24, 2023 23:02 MYT
Jun 24, 2023 23:02 MYT
SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan orang ramai supaya tidak mendahului atau melangkaui proses kehakiman berhubung keputusan mahkamah yang memerintahkan Datuk Zuraida Kamaruddin untuk membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata, bekas Naib Presiden PKR itu masih mempunyai hak untuk mempertahankan haknya di dua lagi Mahkamah Tinggi.
"Itu bukan keputusan muktamad, Zuraida masih mempunyai hak dalam Perlembagaan dan undang-undang untuk mengemukakan rayuan.
"Beliau juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa peguamnya akan mengemukakan rayuan di peringkat mahkamah yang lebih atas.
"Jadi kita janganlah melangkaui atau mendahului keputusan mahkamah. Itu adalah hak beliau sebagai seorang warganegara untuk mempertahankan dirinya di peringkat mahkamah yang lebih tinggi," katanya pada sidang media Konvensyen Pilihanraya PN Selangor 2023 di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin percaya dengan fakta-fakta yang akan dikemukakan di mahkamah lebih tinggi, Zuraida akan dibebaskan daripada tindakan saman dari parti yang disifatkannya sebagai bankrap itu.
PKR sebelum ini memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.
Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti, bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).