Jangan curiga pelantikan Latheefa sebagai KP SPRM - Khairuddin

Astro Awani
Jun 8, 2019 08:00 MYT
KHAIRUDDIN: Rakyat secara menyeluruh amat gembira dengan perlantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana beliau amat bersih serta berintegriti. - Gambar BERNAMA
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diminta tidak curiga-mencurigai dalam isu pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, hakikatnya, semua harus menyokong dan berdiri teguh di sebelah Tun Dr Mahathir Mohamad untuk Perdana Menteri melaksanakan agenda transformasi negara demi kepentingan bangsa mahupun negara.
“Mempertikaikan keputusan dan hak perdana menteri melalui saluran media tidak menampakkan semangat kesepakatan sesama kita di dalam PH.
“Berilah peluang dan ruang yang secukupnya kepada perdana menteri untuk membuat keputusan demi kebaikan bangsa serta negara.
“Tiada ertinya kepada kita semua bersepakat dan bersetuju melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri serta dalam masa yang sama kita pula berterusan mempertikaikan tindakan mahupun keputusan-keputusan yang dibuat oleh beliau. Yakinilah, perdana menteri ikhlas dan berpandangan jauh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
BACA: Beri ruang PM jelaskan lantikan Latheefa Koya sebagai KP SPRM - Anwar
BACA: Pelantikan KP SPRM: Majoriti tidak pertikai kelayakan Latheefa, cuma isu proses - Hanipa
Sebelum ini, Dr Mahathir mengesahkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dilakukan beliau tidak dimaklumkan kepada Kabinet.
Kata Dr Mahathir, sekiranya beliau meminta pandangan Kabinet, ia sedikit sebanyak akan membataskan beliau dalam membuat keputusan.
Dalam pada itu tegas Khairuddin, rakyat secara menyeluruh amat gembira dengan perlantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana beliau amat bersih serta berintegriti.
Beliau turut yakin, Dr Mahathir telah membuat satu pertimbangan secara komprehensif dan mengkaji secara mendalam sebelum membuat pelantikan itu.
“Perdana menteri bukan bodoh. Setiap tindakan yang beliau ambil adalah semata-mata untuk kepentingan SPRM ke arah memantapkan lagi badan penguatkuasaan undang-undang itu.
“Secara peribadi saya juga amat mengenali keperibadian Latheefa yang cukup tegas serta amat bersih. Latheefa amat layak menjawat jawatan nombor satu SPRM ini.
“Seandainya perdana menteri telah meletakkan kepentingan nasional di atas segalanya; maka Dr Mahathir tidak perlu melayani sungutan atau kerenah sesetengah pihak yang mahukan penjelasan dan sebagainya,” katanya.
Jelas Khairuddin, sebagai perdana menteri, Dr Mahathir mempunyai pelbagai saluran matlumat dan tahu apa yang terbaik untuk mengstruktur semula SPRM.
“Untuk melayani kerenah segelintir pihak tertentu secara sepanjang masa dalam pelbagai isu; ini akan membantutkan rancangan baik pulih jentera pentadbiran kerajaan secara pantas.
“Puak-puak yang mempertikaikan perlantikan Latheefa adalah terdiri dari kalangan pemimpin tertinggi PH.
“Mereka boleh menghubungi perdana menteri untuk mendapatkan penjelasan terus menerus secara tertutup dalam pelbagai forum,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dr Mahathir perlu diberi ruang untuk memperjelaskan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Presiden PKR itu turut berpendapat, keputusan untuk melantik Latheefa itu dibuat oleh Dr Mahathir dan beliau juga tidak dimaklumkan mengenai pelantikan itu sehingga pengumuman dibuat.
Katanya lagi, penjelasan itu perlu agar tidak timbul pelbagai dakwaan terhadap kerajaan PH.
#Anwar Ibrahim #Bersih #kabinet #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #Parlimen #PKR #rakyat #Rasuah #SPRM #undang-undang
;