Jangan cuba rentas negeri ke Pulau Pinang, anda akan rugi - Polis

Astro Awani
Mei 19, 2020 22:08 MYT
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan (dua kiri) bersama anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di Tol Jawi. - Foto BERNAMA
Polis Pulau Pinang memberi ingatan kepada orang ramai supaya tidak cuba merentas ke negeri ini tanpa alasan munasabah atau pulang berhari raya kerana ia hanya perbuatan yang merugikan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan, berkata mereka yang melakukan cubaan balik kampung ke negeri ini hanya melakukan perbuatan yang sia-sia sekiranya diarah berpatah balik.
Katanya, setakat Isnin, sebanyak 308 kenderaan telah diarah berpatah balik manakala sembilan kompaun dikeluarkan kepada mereka yang tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kenderaan yang cuba balik kampung itu datang dari arah utara dan selatan dengan memberi alasan untuk pulang beraya.
“Kita nak memastikan Pulau Pinang yang diisytiharkan zon hijau tidak dimasuki oleh mereka yang bermungkinan pesakit COVID-19.
“Jadi saya ingin beri amaran mereka yang cuba berbuat demikian hanya akan kerugian masa, tenaga, minyak tol, wang kerana dikompaun dan perlu patah balik,” kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan.
Sahabudin berkata, setakat ini pihaknya menerima 8,386 permohonan rentas negeri membabitkan kebenaran yang diberikan pihak kerajaan terutamanya suami isteri yang tinggal berjauhan untuk jumpa setiap seminggu sekali.
Beliau berkata, sebanyak 18 sekatan jalan raya (SJR) ditempatkan di semua pintu masuk sempadan bagi mengekang kemasukan orang ramai yang cuba ingin pulang ke kampung halaman.
Seramai 969 anggota terdiri 142 pasukan berada di kesemua SJR yang diadakan untuk pemeriksaan dalam memastikan orang ramai patuh pada arahan kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19.
Sahabudin berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan susulan operasi PKPB di Tol Jawi.
#hari raya #polis #pulau pinang #rentas negeri #Sahabudin Abdul Manan #Sekatan Jalan Raya #sempadan #tol
;