Jangan cuba curi-curi balik raya! - Tindakan tegas jika rentas negeri tanpa kebenaran
Adie Sufian Zulkefli
Mei 20, 2020 09:50 MYT
Mei 20, 2020 09:50 MYT
“Jangan anggap anda lepas pulang ke kampung untuk beraya, tetapi anda akan diburu sehingga ke rumah.”
Itu amaran Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob yang menegaskan pihaknya akan bertindak menangkap serta menahan individu yang cuba merentas sempadan pulang ke negeri itu.
"Anggota polis yang ditugaskan sepanjang Hari Raya Aidilfitri akan melakukan pemeriksaan mengejut di rumah mereka yang disyaki ada individu yang baru pulang dari negeri lain, dalam usaha membendung penularan COVID-19.
"Sebarang aktiviti merentas negeri tidak dibenarkan di negeri ini, kecuali mendapat kebenaran dari pihak berkuasa," katanya kepada wakil Astro AWANI ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini.
Jelasnya, polis tidak dapat menutup semua lorong atau laluan kecil yang dikenal pasti boleh dibolosi, namun akan membuat pemeriksaan mengejut dari rumah ke rumah dan mengambil tindakan jika ada yang cuba pulang senyap-senyap.
"Jadi, saya ingin memberi amaran, bukan sahaja kepada rakyat negeri Kedah, tetapi kepada mereka yang akan balik ke Kedah.
"Bukan sahaja kita sekat di sekatan jalan raya tetapi kita akan membuat pemerhatian di rumah-rumah. Di mana kita syaki berlaku rentas sempadan, kita akan ambil tindakan setegas-tegasnya terhadap mereka," katanya.
Dalam pada itu, Zainuddin memaklumkan cuti Aidilfitri semua anggota dan pegawainya tidak dibenarkan ekoran negara masih berperang dengan wabak COVID-19.
#Aidilfitri
#Alor Setar
#amaran
#Astro
#Astro Awani
#COVID-19
#hari raya
#Kedah
#koronavirus
#laluan kecil
#lorong
#pemerhatian
#pemeriksaan mengejut
#PKP
#PKPB
#polis
#rentas negeri
#rumah
#sempadan
#tindakan tegas
#Zainuddin Yaacob