Jangan cetus api perkauman di media sosial - Kementerian Perpaduan

Astro Awani
Oktober 4, 2021 16:40 MYT
Komen berunsur perkauman ke atas pemain badminton perseorangan negara, Kisona Selvaduray baru-baru ini tidak boleh diterima. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia terutamanya pengguna media sosial diingatkan jangan sesekali bermain dengan kata-kata yang boleh mencetuskan api perkauman.
Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan hari ini berkata, komen berunsur perkauman ke atas pemain badminton perseorangan negara, Kisona Selvaduray baru-baru ini sama sekali tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
“Sukan telah sekian lama menjadi tapak integrasi perpaduan yang menyatukan kita semua tanpa mengira bangsa, kaum dan agama, namun ia telah dicemarkan oleh sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif yang mencetuskan api kemarahan dan perpecahan.
“Walaupun hanya sepatah perkataan, ia tidak wajar sama sekali dalam sebuah negara yang memiliki kepelbagaian kaum dan kerencaman budaya seperti negara kita.
“Semua pihak perlu mengelak daripada menggunakan kata-kata yang boleh mengguris hati dan perasaan kaum-kaum lain demi menjaga perpaduan dan keharmonian Keluarga Malaysia,” kenyataan itu menyebut.
Sebelum ini tular komen berbaur rasis yang dikeluarkan seorang pengguna media social terhadap Kisona, susulan kekalahan atlet tersebut di tangan pemain Jepun, Akane Yamaguchi dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman.
#Malaysia #badminton #sukan #perkauman #Kisona Selvaduray
;