Jangan cetak nama saya sebagai 'Mahiaddin' - Muhyiddin Yassin

Hakim Rahman
April 29, 2018 17:35 MYT
Muhyiddin mahu SPR tidak mencetak kertas undi dengan menggunakan nama dalam kad pengenalan seperti 'Mahiaddin'.
Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan nama seperti yang ditulis dalam borang pencalonan.
Permintaan itu dibuat selepas semakan dibuat di laman web SPR mendapati nama sebenarnya seperti dalam kad pengenalan 'Mahiaddin Bin Md Yassin' dipilih untuk dicetak pada kertas undi dan bukannya sebagai Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Nama yang saya minta dalam borang percalonan adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, itulah nama yang saya gunakan sejak dahulu lagi. Jadi saya hairan bagaimana dalam laman web SPR mengemukakan nama Mahiaddin bin Md Yassin.
"Saya telah minta agar ia diperbetulkan atau saya akan buat bantahan rasmi. Kerana kalau tidak nanti ada pihak yang keliru," katanya selepas mengadakan sesi ramah mesra di Bukit Gambir, Tangkak di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin jika SPR tidak membuat pembetulan ia akan menyebabkan nama 'Mahiaddin' dicetak pada kertas undi.
Nama 'Mahiaddin' terpapar sebagai calon bagi kerusi Parlimen Pagoh dan DUN Gambir yang mana Muhyiddin bertanding.
Kerusi Parlimen Pagoh menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Muhyiddin, Ismail Mohamed (BN) dan Ahmad Nawfal Mohamed (Pas).
Di DUN Gambir, Muhyiddin and Ketua Majlis Syura Pas Datuk Dr Mahfodz Mohamed akan mencabar menyandang Datuk M. Asojan.
#Barisan Nasional #calon #ekonomi #Mahiaddin #Malaysia Memilih #Manifesto #Muhyiddin Yassin #pilihan raya umum #PPBM #Presiden PPBM #PRU14 #saingan sengit
;