Jangan ceroboh rumah api dan tanda arah suar milik Jabatan Laut
Bernama
Disember 8, 2021 17:08 MYT
Disember 8, 2021 17:08 MYT
KUALA TERENGGANU: Orang awam diingatkan agar tidak menceroboh mana-mana premis rumah api dan tanda arah suar (beacon) di bawah seliaan Jabatan Laut (JLM).
Ini kerana bangunan rumah api dan binaan tanda arah suar sama ada di daratan, pesisir pantai atau laut di seluruh Malaysia yang dimiliki oleh JLM adalah aset kerajaan di bawah tanggungjawab jabatan tersebut.
JLM dalam kenyataan hari ini menegaskan, kesemua premis yang dibina bertujuan sebagai penanda daratan dan petunjuk arah selamat alur pelayaran yang menjadi panduan navigasi kepada kapal.
"Reka bentuk dan lokasi rumah api serta tanda arah suar dibina secara khusus bagi tujuan tersebut dan sangat tidak sesuai untuk sebarang aktiviti rekreasi seperti memancing, terjunan renang dan sebagainya.
"Sebarang aktiviti rekreasi di kawasan ini boleh mengakibatkan kecederaan yang serius dan risiko kehilangan nyawa. JLM juga ingin menegaskan tidak pernah melantik mana-mana kelab, persatuan atau orang perseorangan bagi menguruskan pengangkutan ke rumah api atau tanda arah suar milik JLM bagi sebarang tujuan aktiviti rekreasi," menurut kenyataan itu.
Kebelakangan ini terdapat beberapa individu tidak bertanggungjawab yang dikesan menceroboh rumah api dan tanda arah suar termasuk di Terengganu untuk memancing.
Perlakuan mereka dikesan melalui video yang dimuat naik ke platform YouTube dan JLM telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Kenyataan tersebut menegaskan sebarang usaha untuk memasuki premis rumah api atau premis tanda arah suar tanpa kebenaran rasmi daripada JLM adalah dianggap sebagai satu bentuk pencerobohan terhadap aset kerajaan dan tindakan undang-undang akan diambil serta-merta.
Ketika ini, terdapat 40 rumah api dan 455 tanda arah suar milik JLM di seluruh negara.
-- BERNAMA