Jangan cepat hukum vaksin COVID-19 haram, najis - Pakar Fiqh

Ridauddin Daud
Disember 22, 2020 18:26 MYT
Pakar Fiqh Fatwa, Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, belum lagi mufti berbincang namun sudah ada pihak mengeluarkan pelbagai hukum sendiri. - Gambar fail/AP
KUALA LUMPUR : Jangan cepat menghukum menyatakan vaksin COVID-19 adalah haram, najis dan tidak sewajarnya diberikan kepada umat Islam di Malaysia selagi tiada bukti dan fakta kukuh.
Pakar Fiqh Fatwa, Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, meskipun mufti belum berbincang mengenainya namun sudah ada pihak mengeluarkan pelbagai hukum sendiri.
Tegasnya, menurut Islam, mengambil vaksin itu harus tetapi jika vaksin tersebut boleh membantu menghentikan penyebaran penyakit, maka hukumnya bertukar dari harus kepada wajib.
“Sebagai contoh, nak pergi umrah wajib ambil vaksin sebab diarahkan kerajaan Arab Saudi untuk mengelakkan rakyat Malaysia bawa balik virus yang datang dari luar negara.
“Islam adalah agama fitrah dan universal, bukan saja orang Islam tapi manusia, tak kira orang Islam atau bukan Islam, mereka tidak mahu kepada penyakit.
“Maka kita kena fikir macam mana nak jaga diri kita daripada penyakit,” katanya ketika menjadi panelis dalam Webinar: Bicara Penyelidikan Kawalan Pandemik COVID-19: Perspektif Sains Perubatan Dan Islam anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam pada itu, ‘pandemic fatigue’ menyebabkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat mula longgar, tidak seperti dahulu.
Pakar Epidemiologi, Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, selepas setahun, motivasi rakyat untuk mematuhi SOP semakin berkurang.
“Masyarakat mungkin rasa bosan kerana terlalu banyak kekangan, kongkongan dan sebagainya dan ada yang luahkannya dalam bentuk protes, tidak mahu pakai pelitup muka, imbas MySejahtera dan sebagainya.
“Ini yang merisaukan kita dan banyak dibincangkan wartawan dan juga sebahagiannya yang mula menulis berkaitan ‘pandemic fatigue’.
“Ia memang akan jejaskan kepatuhan masyarakat kepada COVID-19,” ujarnya.
Tambahnya, jika diperhatikan masyarakat di luar, di kedai makan terutamanya, SOP semakin longgar dan masyarakat dilihat seperti tidak lagi takut dengan bahaya COVID-19.
#SOP #Islam #umrah #fatwa #vaksin #COVID-19 #rakyat Malaysia #pandemik #pelitup muka #Malaysia #Arab Saudi #haram #Najis #pandemic fatigue
;