Jangan cemas lihat pesawat pejuang terbang rendah Khamis ini - Kementerian Pertahanan

Bernama
Oktober 18, 2021 04:00 MYT
Pesawat-pesawat itu terlibat latihan penerbangan membabitkan formasi-formasi penerbangan rendah serta taktikal sempena acara sambutan 50 Tahun Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA), Khamis ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan tidak cemas dan bimbang dengan kelibat dan bunyi enjin pesawat pejuang yang terbang rendah di ruang udara Lembah Klang mulai Isnin hingga Khamis ini.
Kementerian Pertahanan (Kementah) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan pesawat-pesawat itu terlibat latihan penerbangan membabitkan formasi-formasi penerbangan rendah serta taktikal sempena acara sambutan 50 Tahun Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA), Khamis ini.
"Pada tahun ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi acara sambutan 50 Tahun FPDA dan Mesyuarat Menteri Pertahanan FPDA ke-11 pada 21 Okt di Kuala Lumpur.
"Sambutan ini juga akan diraikan dengan satu acara terbang lintas melibatkan pesawat pejuang negara-negara anggota FPDA yang akan berlangsung pada 5.45 petang hari yang sama di Pangkalan Udara Subang," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#pesawat pejuang #TUDM #Lembah Klang #FPDA
;