"Jangan cari publisiti murahan melalui MH370" - Anifah Aman
Haider Yutim
Mac 18, 2014 21:12 MYT
Mac 18, 2014 21:12 MYT
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini berkata insiden kehilangan pesawat MH370 tidak harus dijadikan tempat untuk mencari publisiti murahan oleh mana-mana pihak.
Beliau telah menegaskan bahawa tujuan utama pada masa sekarang ialah mencari pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines (MAS) itu dan segala usaha harus fokus kepada pencarian tersebut.
"Saya tidak rasa mana-mana pihak patut mencari publisiti murahan dengan apa yang berlaku sekarang. Ia adalah isu malapetaka yang besar, oleh itu segala usaha seharusnya difokuskan kepada pencarian pesawat tersebut," kata Anifah dalam sidang media harian di Hotel Sama-Sama, Sepang pada Selasa.
Katanya lagi, politik bukan lagi penting ketika usaha pencarian sedang giat dilakukan oleh Malaysia dan juga negara-negara yang terlibat dan membantu.
Sementara itu, Anifah menyifatkan respon dari negara-negara luar terhadap usaha ini amat positif kerana Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan semua negara.
Jelasnya, isu ini adalah kompleks kerana ia melibatkan 25 negara serta bagaimana hendak menyelaras 25 negara itu yang mempunyai ideologi dan sistem kerajaan yang berbeza.
"Tetapi dua sebab (yang membolehkan ia dilakukan). Yang pertama, kita mempunyai hubungan yang amat baik dengan negara-negara tersebut. Yang kedua, kerana perkara ini melibatkan aspek kepentingan manusia," ujar Anifah.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai semua kerjasama yang telah diberikan kepada Malaysia termasuk negara-negara yang telah menghubungi beliau.