Jangan cakap tentang kemakmuran bersama kalau tiada empati - Anwar
Madiha Abdullah
November 9, 2019 16:12 MYT
November 9, 2019 16:12 MYT
Konsep kemakmuran bersama atau shared prosperity tidak akan dapat dicapai tanpa adanya perasaan empati dalam kalangan masyarakat.
Kegagalan menyemai empati akan mengakibatkan konsep berkenaan menjadi satu istilah yang tidak membawa makna.
"Perlu ada satu program khas yang dilakukan sendiri, bercakap dengan penduduk kampung dan miskin bandar, dan saya mahu lihat inisiatif ini daripada anda kerana ia akan memberi perubahan besar, jadikan anda lebih bijak, lebih terdedah dan masa depan lebih baik.
"Jika anda tiada rasa belas kasihan atau ambil berat, jangan cakap tentang bangsa, agama atau kemakmuran bersama.
"Ini cabaran untuk semua pemimpin di sini, dalam masa beberapa bulan akan datang, anda ada program yang jelas, anda turun padang. Semua ditugaskan pilih satu kampung dan pergilah berinteraksi dengan penduduknya," kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perubahan, kata Anwar, hanya akan berlaku apabila pihak bertanggungjawab melihat sesuatu isu secara kritikal.
"Saya mahu anda 'merasa' untuk mereka, kerana jika kita mahu Malaysia berdaya saing dan mengubah naratif daripada sikap perkauman dan keagamaan, kita perlu laksanakan ini untuk wujudkan satu generasi baharu yang mampu berempati dengan orang lain," ujarnya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pembukaan Youth Economic Forum di ibu negara, pada Sabtu.
Forum sehari itu bertemakan Ripples: Youth In The Driver's Seat dan dianjurkan oleh Perdana Fellowship untuk kali keempat.