'Jangan buat spekulasi, Rosmah akan lawan saman RM67.5 juta' - Firma guaman
Hasimi Muhamad
April 17, 2023 22:59 MYT
April 17, 2023 22:59 MYT
KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor akan menentang dan membela diri terhadap saman sebanyak AS$14.57 juta (RM67.46 juta) yang dikemukakan oleh firma barang kemas Lubnan Global Royalty Trading dari Beirut, Lubnan.
Ia susulan dakwaan Isteri bekas Perdana Menteri itu melanggar kontrak ke atas 43 barang kemas yang hilang.
Firma guaman Reza Rahim & Rajivan, yang mewakili Rosmah dalam satu kenyataan menambah,
media dan orang awam juga tidak sepatutnya membuat sebarang kenyataan atau spekulasi mengenai hal tersebut.
"Ini kerana perkara yang sama boleh dianggap sebagai sub-judice dalam prosiding undang-undang atau memfitnah klien (Rosmah) kami," ujar kenyataan itu.
Firma guaman itu berkata, Rosmah belum menerima writ dan pernyataan tuntutan berhubung saman tersebut.
Pada ketika ini, jelas Reza Rahim & Rajivan lagi, anak guamnya juga menyatakan bahawa saman yang sama sebelum ini difailkan oleh pihak berkenaan, tetapi ia ditarik balik dalam perbicaraan di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Global Royalty menerusi satu tuntutan memaklumkan telah menghantar barang kemas berkenaan kepada Rosmah pada Februari 2018.
Bagaimanapun, firma itu mendakwa barangan kemas terbabit bukan antara barangan yang dirampas dalam serbuan polis pada Mei 2018.
Global Royalty memfailkan semula saman itu pada 27 Mac lalu di bahagian komersial Mahkamah Tinggi melalui Tetuan David Gurupatham dan Koay.