Jangan buat spekulasi punca kereta saya terbakar - Dr Mohd Hatta

Astro Awani
Februari 14, 2015 20:00 MYT
DR MOHD HATTA: Jangan buat spekulasi punca kereta saya terbakar - Gambar fail
Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai punca kereta Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dibakar di luar rumahnya pada pagi Sabtu.
Dr Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, dia dimaklumkan pengawal di kawasan perumahannya, ia disyaki dilakukan dua orang yang menaiki sebuah kereta.
"Saya diberitahu kereta terbakar dan dua orang di dalam sebuah kereta disyaki melakukannya.
"Bagaimanapun atas tujuan apa dan kenapa itu tidak ada sesiapa yang tahu. Saya sudah membuat laporan polis dan menunggu hasil siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr Mohd Hatta mengulas kejadian terbakar yang dipercayai akibat perbuatan khianat.
Sebuah portal hari ini melaporkan kenyataan sahabat rapat Dr Mohd Hatta, Dr Dzulkefly Ahmad yang yakin kejadian tersebut adalah angkara orang luar dan berniat jahat bagi menimbulkan konflik dalaman parti itu.
Bagaimanapun, Dr Dzulkifli yakin perbuatan itu tidak dilakukan ahli PAS namun pihak luar yang cuba mengambil kesempatan dari kejadian demonstrasi di ibu pejabat parti PAS baru-baru ini.
Jelas Dr Mohd Hatta, kenyataan Dr Dzulkifli disifatkan hanya pandangan selain sekali lagi mengingatkan jangan membuat sebarang telahan sebelum siasatan selesai.
"Itu pandangannya (Dr Dzulkifli), saya tidak menimbulkan spekulasi, atas tujuan dan niat apa, biarlah pihak polis yang lakukan siasatan," jelasnya.
Ahad lepas, Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim dan Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik memimpin demonstrasi menjatuhkan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Demonstrasi di perkarangan pejabat PAS itu juga didakwa didalangi Dr Mohd Hatta sendiri.
#Hatta #PAS #spekulasi #terbakar
;