Jangan buat spekulasi insiden 'dentuman' - Polis Sabah

Syah Hairizal Kamalul Arifin, Eleanor Michelle Patrick
Januari 31, 2021 16:12 MYT
Polis akan menjalankan pemantauan secara menyeluruh dan memaklumkan segera sekiranya mempunyai maklumat sahih mengenai kejadian itu. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Polis Sabah menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden 'dentuman' yang difahamkan berlaku di kawasan Pantai Barat negeri itu, tengah hari tadi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya kini menyiasat perkara itu dengan menyeluruh dan masih mengenal pasti punca bunyi bising seakan letupan berkenaan.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah membuat sebarang kenyataan terutamanya di laman sosial tanpa mendapat maklumat sahih," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.
Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang individu tampil membuat laporan berhubung kes berkenaan.
"Tiada sebarang letupan atau gegaran dilaporkan setakat ini.
BACA: Bunyi letupan bagai guruh, gegaran gemparkan penduduk Sabah
"Siasatan telah dijalankan dan kami sudah menghubungi beberapa lokasi serta syarikat berkaitan seperti Asian Supply Base, Petronas Chemical Methanol dan Shell Hibiscus akan tetapi, tiada sebarang insiden dilaporkan.
"Terdapat laporan bunyi letupan kuat yang didengari di kawasan Pantai Barat itu sebenarnya berlaku di Muara Teluk Brunei, Brunei Darussalam," katanya.
Jelas Hazani, polis akan menjalankan pemantauan secara menyeluruh dan memaklumkan segera sekiranya mempunyai maklumat sahih mengenai kejadian itu.
Selain itu, Pusat Kajigempa Kebangsaan Brunei, Jabatan Kerja Raya negara itu dalam portal rasminya mendedahkan terdapat gelombang seismik sederhana direkodkan pusat berkenaan pada 11.03 pagi Ahad.
Bagaimanapun, ia masih tidak jelas sama ada gelombang seismik itu disebabkan oleh gempa bumi atau gegaran di Brunei mahupun negara jiran.
Malah, portal itu mengesahkan gegaran dirasai di beberapa lokasi di negara berkenaan.
Sementara itu, Bernama melaporkan Balai Polis Muara di Brunei ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu tetapi mengatakan tidak menerima laporan sehingga jam 1 tengah hari.
Terdahulu, Pengarah Meteorologi Negeri Sabah, Amir Zudi Hashim ketika dihubungi turut mendedahkan kejadian itu tidak berkaitan dengan sebarang insiden melibatkan fenomena alam.
#bunyi dentuman #gegaran #Labuan #letupan #polis #siasatan #Meteorologi Negeri Sabah #Amir Zudi Hashim #laman sosial
;