Jangan buat pembelian panik, beras mencukupi di N. Sembilan

Bernama
September 15, 2023 05:15 MYT
Secara keseluruhan, sebanyak 3,500 tan beras sebulan diperlukan di Negeri Sembilan dan pihak Pejabat Kawalselia Padi dan Beras mendapatkan bekalan dari luar secara konsisten bagi memenuhi keperluan itu. - Gambar fail/Bernama
SEREMBAN: Pengguna di Negeri Sembilan diharap tidak membuat pembelian panik kerana bekalan beras putih tempatan dalam pasaran adalah mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan S. Veerapan berkata pembelian panik boleh menyebabkan gangguan rantaian bekalan setempat dan pengguna dinasihatkan agar membeli beras tempatan mengikut keperluan.
"Bekalan beras tempatan mencukupi, kita cuba hadkan pembelian iaitu 10 kampit beras bagi 5 kilogram (kg) dan 10kg," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di stor simpanan beras sebuah syarikat pembekal beras di Kuala Sawah, Rantau di sini semalam.
Veerapan berkata untuk rekod, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri telah melakukan 167 pemeriksaan di bawah Op Jamin meliputi pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit pada 7 Julai hingga 14 Sept.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut didapati tiada kes penukaran label kampit beras dan harga jualan beras putih tempatan (BPT) adalah mengikut harga kawalan ditetapkan.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Kawalselia Padi dan Beras Cawangan Negeri Sembilan Irwan Ahmad Rejab berkata, secara keseluruhan sebanyak 3,500 tan beras sebulan diperlukan di negeri ini dan pihaknya mendapatkan bekalan dari luar secara konsisten bagi memenuhi keperluan itu.
"Pengguna tidak perlu menyimpan stok beras kerana bekalan sentiasa ada...setakat ini kami ada terima enam aduan berkenaan beras tempatan tiada di pasaran, bagaimanapun pembekal telah diarahkan untuk menambah stok," katanya.
Beliau menjelaskan antara faktor menyebabkan isu kekurangan stok beras di negeri ini kerana pengguna telah beralih kepada pembelian beras tempatan berikutan kenaikan harga beras import di peringkat antarabangsa.
"Margin sebelum ini antara beras tempatan ke beras import adalah RM1.50 ke RM2, akibat kenaikan beras dunia, margin sekarang menjadi lebih kurang RM10.
"Hasil pemantauan di negeri ini, peniaga beralih kepada pembelian beras tempatan. Kita dapati mereka telah membuat pembelian panik kerana margin tersebut terlampau tinggi, saya nasihatkan tidak membuat pembelian panik kerana bekalan sentiasa ada," katanya.
Katanya, kerajaan telah menguatkuasakan Peraturan 10(1)(b) Peraturan-peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan, Pemborong dan Peruncit) 1996 iaitu setiap individu dan peniaga hanya dibenarkan membeli maksimum 100kg BPT.
-- BERNAMA
#kpdn #pembelian panik #beras #S Veerapan
;