Jangan buat andaian, kes masih dalam siasatan - KP KL
Nursyazwani Saiful Sham
April 21, 2018 20:32 MYT
April 21, 2018 20:32 MYT
Dakwaan yang menyatakan ejen perisik yang menembak mati seorang imam warga Palestin masih dalam siasatan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.
“Saya tidak mahu membuat andaian berkaitan dakwaan itu (ejen perisik) kerana kes ini masih dalam siasatan.
“Polis akan melakukan siasatan secara terperinci daripada pelbagai aspek termasuk berhubung dengan polis antarabangsa (INTERPOL),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI malam ini.
Tambah Mazlan, pihaknya akan adakan satu mesyuarat bersama Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
Terdahulu, Polis Kuala Lumpur tidak menolak kemungkinan dua lelaki yang menembak mati seorang imam dan pensyarah sebuah univeristi swasta di Jalan Gombak awal pagi ini mempunyai motif untuk membunuh lelaki berbangsa Arab itu.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika diminta untuk mengulas kejadian ini berkata, dua suspek ini dipercayai mempunyai kaitan dengan organisasi perisikan sebuah negara.
Siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 35 tahun itu keluar dari rumah untuk pergi ke surau untuk menunaikan solat subuh sebelum ditembak.
#Datuk Seri Mazlan Lazim
#imam warga Palestin
#Ketua Polis Kuala Lumpur
#tembak
#Timbalan Perdana Menteri
#Zahid Hamidi