Jangan buang masa mohon rentas negeri untuk balik Raya - Polis Johor
Bernama
Mei 18, 2020 17:43 MYT
Mei 18, 2020 17:43 MYT
Polis Johor mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang masa memohon perjalanan rentas negeri untuk pulang berhari raya.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kebenaran hanya diberikan untuk kes kecemasan sahaja.
Beliau berkata polis menerima 1,000 hingga 1,500 permohonan rentas negeri daripada orang ramai setiap hari sejak beberapa hari lepas di balai polis seluruh negeri dengan kira-kira 70 peratus daripadanya adalah permohonan untuk pulang berhari raya di kampung masing-masing.
"Kita hanya benarkan rentas negeri bagi kes kecemasan sahaja. Oleh itu, jangan buang masa anda membuat permohonan jika itu alasannya mahu rentas negeri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Isnin.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terus berdegil untuk pulang ke kampung ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
"Jika masih terus berdegil, mereka akan diarahkan berpatah balik di pintu keluar negeri. Masih ada 33 Sekatan Jalan Raya (SJR) di pintu keluar negeri ini termasuk di lebuh raya dan jalan negeri atau kampung dan jika tiada surat kebenaran mereka akan diarahkan berpatah balik," katanya.
- BERNAMA