Mana-mana pelancong atau rakyat tempatan diminta sentiasa menjaga kelakuan dan tidak berbogel atau berkelakuan tidak sopan apabila berada di lokasi pelancongan Gunung Irau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Leong Ngah Ngah berkata, perlakuan itu dilihat berisiko selain boleh membawa musibah buruk atau bencana seperti yang berlaku di Gunung Kinabalu pada awal Jun lalu.

"Saya tidak kenal siapa lelaki itu, apakah dia pelancong atau rakyat negara ini.

"Cuma saya minta dan nasihatkan tolonglah jangan buat begitu, kita tidak mahu perkara buruk berlaku di sini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Gambar seorang lelaki berbogel yang tidak diketahui identitinya di Gunung Irau kini tersebar luas di media sosial - Sumber gambar Siakapkeli

Ngah Ngah diminta mengulas mengenai beberapa keping gambar bogel seorang lelaki yang tersebar luas sejak Rabu di media sosial.

Gambar itu menunjukkan lelaki berkenaan berada di Gunung Irau di Cameron Highlands.

Dalam pada itu kata Ngah Ngah, dia sendiri mengetahui mengenai gambar itu daripada laman Facebook.

"Saya tengok gambar itu, berlatarbelakangkan bendera Malaysia. Siapa pun lelaki itu, saya harap dia hentikan perbuatannya segera," ujarnya.

BACA: Pelancong dikaitkan dengan kumpulan berbogel atas Gunung Kinabalu ditahan polis

Pada awal Jun, perlakuan beberapa pelancong bogel di puncak Gunung Kinabalu dikatakan menjadi antara faktor kemarahan 'penjaga' gunung itu sehingga menyebabkan gempa bumi.

GALERI FOTO: Gambar Terkini: Apa yang berlaku sewaktu gempa bumi di Ranau

Insiden pelancong yang bertindak menanggalkan pakaian masing-masing apabila berjaya tiba di puncak Gunung Kinabalu membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan di Kundasang kerana perlakuan pelancong tersebut yang tidak menghormati adat resam tempatan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata ramai yang membuat pelbagai spekulasi mengaitkan insiden bogel itu dengan kejadian gempa bumi di Ranau itu.

BACA: Netizen kecam pelancong buka pakaian di puncak Gunung Kinabalu

Netizen turut mengecam tindakan beberapa pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu yang dikatakan satu tindakan yang bukan sahaja tidak bermoral, tetapi juga biadab kerana tidak menghormati semangat Aki Nabalu.