Jangan bimbang, tiada kes culik, jual organ - Polis

Sinar Harian
Oktober 13, 2018 07:41 MYT
Keratan akhbar berhubung kebimbangan Orang Asli mengenai rakaman video culik yang tular. - Foto Sinar Harian
Masyarakat di daerah ini khususnya komuniti Orang Asli tidak perlu bimbang dengan penularan rakaman video culik dan kejadian jual organ kerana ia tidak pernah berlaku.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin mengesahkan, tiada kes seumpama itu dilaporkan di daerah ini.
Katanya, masyarakat tidak perlu bimbang dan gusar kerana rakaman video yang tular itu berlaku di luar negara.
"Masyarakat Orang Asli khususnya tidak perlu takut untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
"Bagi memastikan kebimbangan ini tidak berlarutan, kita akan masuk ke kampung untuk memberi keterangan dan penjelasan sewajarnya.
"Sebelum ini juga, kita sudah berbuat demikian dan menjelaskan mengenai kejadian yang berlaku itu," katanya lagi.
Bagaimanapun, Mohd Taufik berkata, pertemuan susulan bersama masyarakat itu akan diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
"Kita akan turut libatkan Jakoa dalam pertemuan ini. Diharapkan juga pihak sekolah dapat memainkan peranan dalam memberi penjelasan kepada golongan ibu bapa," katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop, Kamaruzzaman Che Min berkata, rakaman video penculikan kanak-kanak dan penjualan organ itu menjadi punca peratus kehadiran di sekolah terjejas.
Katanya, video itu mengganggu fikiran dan minda ibu bapa pelajar sehingga bertindak tidak membenarkan anak-anak ke sekolah.
"Ini semua hanya khayalan mereka. Saya difahamkan, video itu sudah berlaku 10 tahun lalu di luar negara namun ia terbawa-bawa dalam fikiran mereka.
"Malah, mereka juga tidak percaya keselamatan di sekolah dan lebih rela untuk meletakkan anak-anak di rumah sahaja," katanya.
Terdahulu, masyarakat Orang Asli di daerah ini melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak mereka selepas video penjualan organ dan kes culik kanak-kanak tular.
Rata-rata memberitahu mereka bimbang jika situasi itu berlaku di kalangan anak-anak mereka kerana ramai orang luar dilihat sering keluar masuk penempatan masing-masing.
#culik #Gua Musang #ibu bapa #JAKOA #jual organ #masuk kampung #Mohd Taufik Maidin #Orang Asli #polis #sekolah #SK Hendrop #Tular #video
;