Jangan biar Pantai Kenangan tinggal kenangan
Hasimi Muhamad
Januari 9, 2020 11:35 MYT
Januari 9, 2020 11:35 MYT
Desiran ombak yang menghempas pantai seolah-olah menyambut kedatangan pengunjung ke Pantai Kenangan di sini.
Destinasi yang terletak kira-kira 30 minit dari Pekan Papar itu mempunyai tarikan yang tersendiri, terutama apabila matahari terbenam.
Keindahan panorama pantai itu menjadikan ia destinasi pilihan penduduk setempat dan pelancong dari luar Sabah untuk menjalankan pelbagai aktiviti santai.
Menurut peniaga, AG Harun Karim, 53 tahun, setiap hujung minggu, pengunjung dari pelbagai latar usia akan berpusu-pusu ke Pantai Kenangan, malah ada yang mengambil peluang untuk berkhemah.
Menyedari bahawa masih banyak yang perlu diperbaiki, AG berkata, kemudahan infrastruktur di Pantai Kenangan perlu dinaik taraf demi keselesaan pengunjung.
"Kita berniaga lebih kurang 12 tahun, daripada gerai lama sehingga gerai baharu di sini. Cuma yang perlu adalah pihak-pihak tertentu untuk menambah baik tempat ini.
"Seperti kemudahan tempat minum untuk pelanggan, dan meja serta tandas pun, kena baik pulih, sebab kemudahan lain seperti surau sudah ada," katanya kepada Astro AWANI.
Difahamkan, kebanyakan kemudahan di Pantai Kenangan dibina atas inisiatif peniaga-peniaga di kawasan itu.
Sementara itu, peniaga, Jiman Adni, 67 tahun, menyifatkan fasiliti yang sudah kelihatan usang mencacatkan pemandangan di kawasan pantai itu.
Rasa cinta terhadap pantai itu membuatkan Jiman meletakkan harapan besar agar kawasan itu tidak ditelan zaman.
"Saya sudah lama berniaga di sini dari tahun 2010 lagi. Tetapi apa yang saya mahu adalah perubahan, seperti keadaan pantai dijaga, kerana pengunjung yang datang kebanyakannya dari Beaufort dan Keningau.
"Jadi, saya berharap pantai ini boleh dibaik pulih, seperti (membina) taman dan membaiki kerusi serta meja yang sudah usang," katanya.
Tinjauan Astro AWANI juga mendapati kawasan sekitar di Pantai Kenangan berada dalam keadaan bersih, namun pengunjung berdepan sedikit kesukaran memandangkan tiada sebarang papan tanda khusus diletakkan.
Perkara itu diakui oleh pengunjung, Hazwan Akbaruddin, yang memaklumkan selain papan tanda, keadaan jalan di kawasan sekitar juga perlu dinaik taraf semula.
"Kita minta buat signboard sebaik-baiknya, sebab kawasan ini juga jadi tumpuan setiap kali hujung minggu.
"Ramai orang datang dan kawasan di sekitar juga merupakan destinasi pelancongan. Saya harap jalan (juga dibaiki)," ujarnya.
Selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, lokasi seperti Pantai Kenangan harus dijadikan tumpuan memandangkan ia berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai lokasi pelancongan terkenal di Sabah.
#baik pulih
#Bongawan
#Destinasi pelancongan
#Kimanis Memilih
#naik taraf
#Pantai
#Pantai Kenangan
#papan tanda
#pelancongan
#peniaga
#PRK Kimanis
#Sabah