Jangan biadap dengan Tuhan - Amaran kepada yang gemar ponteng puasa

Abd Razak Mohd Ali
Mei 8, 2019 22:04 MYT
MOHD YUSOP: Kalau dia enggan berpuasa, dosa dia sendiri dengan Tuhan, tapi jangan berlaku biadap. - Gambar fail
Setiap kali tiba bulan Ramadan, pasti akan muncul 'geng plastik hitam' dan 'pandu lalu' di beberapa restoran popular di sekitar bandar raya ini.
Mereka akan datang membuat pesanan makanan, yang kemudiannya dibungkus dalam plastik hitam, sebelum berlalu pergi.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin mengakui, sukar untuk membanteras perkara itu kerana undang-undang hanya boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang makan di khalayak ramai.
Pihak penguatkuasa hanya boleh memberi nasihat supaya mereka tidak mengulanginya kerana ia boleh memberi gambaran buruk terhadap Islam.
"Walaupun mungkin mereka ada alasan tertentu, tetapi maruah agama mereka patut jaga. Kalau nak beli (makanan) pun, beradap dan menjaga agama. Jangan berlaku biadap dengan Tuhan.
"Selama mana kita nak berlaku biadap dengan Tuhan? Selama mana kita nak mencemarkan imej agama? Kalau dia enggan berpuasa, biarlah dosa dia sendiri dengan Tuhan tapi jangan berlaku biadap.
"Perlakuan kita seolah-olah mencabar Tuhan dan mencabar kemurnian, kesucian agama yang dianuti," katanya.
Mohd Yusop berkata, cadangan supaya dihadkan waktu perniagaan restoran makanan Islam dianggap tidak sesuai kerana premis itu turut dikunjungi pelanggan bukan Islam.
Pada masa sama, JAIPk melalui khubah jumaat mengingatkan para peniaga supaya tidak bersubahat dengan golongan yang tidak mahu berpuasa.
Restoran yang sering menjadi tumpuan juga akan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
#dosa #geng plastik hitam #Islam #JAIPk #Kedai makan #maruah agama #pandu lalu #peniaga #ponteng puasa #Ramadan #restoran #undang-undang
;