Jangan bersekongkol dengan sindiket dadah, jenayah - Ayob Khan

Sinar Harian
April 8, 2023 12:00 MYT
Ayob Khan menekankan isu integriti kepada pegawai JSJN semasa menyampaikan amanatnya, baru-baru ini. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan pegawai dan anggotanya untuk tidak bersekongkol dengan sindiket dadah dan jenayah.
Menerusi amanat kepada Ketua JSJN Negeri secara telesidang, Ayob Khan turut menekankan mengenai isu integriti.
"Isu integriti ini adalah tidak terlibat dengan sindiket dadah, sebarang perlakuan jenayah serta lain-lain aktiviti yang boleh mencemarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Ketua jabatan diingatkan untuk meningkatkan penyeliaan kepada semua pegawai dan anggota di bawah seliaan masing-masing," katanya dipetik menerusi Facebook rasmi JSJN pada Jumaat.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil dan tidak bertoleransi dengan mereka yang terlibat dengan salah laku semasa atau di luar penugasan.
Di akhir amanatnya baru-baru ini itu, Ayob Khan menitipkan ucapan agar semua ketua jabatan terus komited dan ikhlas menjalankan tugas yang diamanahkan dan semoga JSJN terus cemerlang dalam membanteras dadah musuh nombor satu negara.
Majlis yang berlangsung di Bukit Aman itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.
Untuk rekod, Ayob Khan diumumkan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 16 April depan. -Sinar Harian
#PDRM #ayob khan mydin pitchay #JSJN Bukit Aman #tidak bersekongkol dengan sindiket dadah dan jenayah
;