Jangan berlengah membeli tiket menuju ibu kota - KTMB

Mariah Ahmad
Julai 15, 2015 15:09 MYT
Sarbini (kanan) ketika sidang media di KL Sentral. - Astro AWANI/Mariah Ahmad
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Rabu menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan tiket dengan segera walaupun masih terdapat tiket keretapi untuk perjalanan dari utara dan selatan menuju Kuala Lumpur selepas Aidilfitri.
Presiden KTMB, Leftenan Kolonal (B) Sarbini Tijan berkata, masih terdapat 52,400 tiket KTM Intercity dan perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) yang boleh diperoleh di kaunter tiket atau menerusi dalam talian.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, masih terdapat 7,600 tiket KTM Intercity bagi perjalanan dari 18 hingga 27 Julai menuju Kuala Lumpur, sementara bagi ETS masih terdapat 44,800 tiket.
"Dapatkan tiket lebih awal untuk balik dan pulang semula ke tanah air kerana ditakuti nanti, satunya mungkin tiket akan habis.
"Yang kedua, kita dapat pilih gerabak yang kita suka. Yang ketiganya mungkin kita balik dengan kawan-kawan, saudara mara, isteri atau suami, kita boleh duduk bersama-sama.
"Namun jika kita tunggu pada saat-saat akhir, nanti seorang duduk hujung yang berdekatan dengan jurupandu, seorang lagi terpisah di bahagian belakang sekali dalam keretapi. Jadi, lebih baik kita rancang awal," jelas beliau dalam satu sidang media sebelum menghadiri program berbuka puasa KTMB bersama media di KL Sentral di sini.
KTMB pada Rabu juga telah mengedarkan seribu pek makanan kepada penumpang KTM komuter, ETS dan KTM Intercity di KL Sentral yang mahu pulang ke kampung.
Pemberian pek cenderahati ini merupakan acara tradisi KTM Berhad bagi menghargai para penumpang yang sentiasa memberi sokongan kepada KTMB selain dari menghidupkan suasana raya di kalangan para penumpang yang pulang beraya ke kampung.
#balik kampung #KL Sentral #KTMB #Sarbini Tijan