Jangan berlaku buli dalam latihan askar wataniah - Tengku Abdullah
Bernama
Oktober 5, 2017 07:38 MYT
Oktober 5, 2017 07:38 MYT
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah mahu setiap latihan askar wataniah dilaksanakan mengikut modul ditetapkan supaya tidak berlaku gejala buli dalam kalangan anggota mahupun pegawai.
Baginda bertitah modul latihan ketenteraan apabila dilaksanakan dengan sempurna dapat membantu meningkatkan tahap ketahanan fizikal serta mental mereka yang memilih untuk menganggotai pasukan itu.
Modul itu, tambah baginda bukan bertujuan memberi kesempatan kepada mana-mana individu untuk menyakiti atau mencederakan orang lain.
"Saya tidak bersetuju dengan aktiviti buli-membuli ini. Ia (buli) tidak sepatutnya berlaku di mana-mana, bukan hanya dalam bidang ketenteraan malah semua bidang di negara mana sekalipun.
"Bentuk latihan yang keras dan tegas dalam ketenteraan adalah biasa, tetapi tidak perlulah sampai ada niat hendak membuli orang lain seperti yang dilaporkan dalam media," titah baginda.
Tengku Abdullah bertitah demikian semasa berucap merasmikan Perbarisan Perasmian Latihan Kem Tahunan 2017 di Kem Force 136 Sungai Miang di sini pada Khamis, di mana baginda juga berkenan memakaikan pangkat kepada seorang pegawai dan lapan anggota yang dinaikkan pangkat.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Timbalan Komander Rejimen 505 Askar Wataniah Leftenan Kolonel Azrul Syamsul Sahak.
Tengku Abdullah seterusnya menggesa semua sukarelawan askar wataniah menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan tahap profesionalisme setanding anggota tetap.
Baginda bertitah perkara itu juga bertujuan supaya mereka bersedia dan berkeyakinan menyertai barisan kedua anggota keselamatan negara apabila dimobilisasikan selain menjadikan mereka anggota pertahanan yang cekap.
"Setiap anggota perlu mengikuti segala latihan dengan penuh tekun dan bersemangat dan dalam masa sama, perlu mengutamakan kerjasama berkumpulan serta menunjukkan semangat setiakawan supaya segala urusan dipermudahkan," titah baginda.
Tengku Abdullah seterusnya menyarankan lebih ramai belia menyertai sukarelawan askar wataniah termasuk pelajar lepasan institusi pengajian awam dan swasta serta belia yang tidak bekerja.
"Mereka (anggota) yang sudah sertai askar wataniah perlu sebar maklumat dan ajak rakan serta kenalan menyertai pasukan ini agar dapat bersama-sama menyumbang keringat dan idea demi pembangunan agama, negara dan bangsa," titahnya.
-- BERNAMA
#Askar Wataniah
#buli
#gejala buli
#ketahanan fizikal
#modul latihan ketenteraan
#profesionalisme
#Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah