Jangan benarkan ahli politik campur tangan urusan Tabung Haji - Anwar Ibrahim

Hafizi Rosli
Julai 22, 2021 11:34 MYT
Anwar mencadangkan wakil daripada Kementerian Kewangan diletakkan dalam Ahli Lembaga Pengarah TH bagi melicinkan lagi pengurusan operasi dan dana itu.
KUALA LUMPUR: Tiada keperluan Tabung Haji (TH) diletak di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tujuan menambah baik pengurusan dan operasinya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, kata Ketua Pembangkang itu, TH boleh menukar kepada pengurusan yang cekap bagi memastikan operasi dan pengurusan terbaik.
Ia juga tidak sepatutnya mengizinkan orang politik berkepentingan campur tangan dalam urusan organisasi itu, tambahnya.
"Kalau ada masalah pengurusan, mustahil tidak ada orang yang layak menguruskan TH dalam jutaan orang umat Islam ini.
"Yang menjahanamkan institusi ini ialah campur tangan orang. Keluarkan orang politik, selamat wang rakyat," kata Anwar menerusi video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Sumber Facebook anwaribrahim.keadilan
Presiden PKR itu menegaskan, tidak perlu sama sekali BNM mengambil alih tugas menyelia TH, tetapi pengurusan yang cekap adalah dituntut bagi menguruskan dana itu.
"Tidak perlu sama sekali BNM ambil tugas (TH), kerana banyak tugas BNM yang tak terkendali, seperti moratorium, pun belum selesai.
"Jangan bebankan BNM dengan hal-hal yang mungkin akan menjejaskan kepentingan umat Islam dan TH," katanya dalam video berdurasi 4.59 minit itu.
BACA: Tabung Haji di bawah kawal selia BNM bagi tambah baik pengurusan dan operasi - Tengku Zafrul
Anwar turut memberi cadangan agar terdapat wakil daripada Kementerian Kewangan untuk berada dalam Ahli Lembaga Pengarah TH bagi melicinkan lagi pengurusan operasi dana itu.
"Segala usaha ini boleh dijalankan bagi menyelamatkan dana dengan lebih 9 juta pendeposit ini dan membawa TH kembali ke era kecemerlangannya," katanya.
Pada Ahad, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan bersetuju meletakkan TH di bawah kawal selia BNM bagi menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh.
#Anwar Ibrahim #Parti Keadilan Rakyat #Bank Negara Malaysia #Tabung Haji #Kementerian Kewangan #campur tangan #operasi #pengurusan #dana #ahli lembaga pengarah #ahli politik
;