Jangan bazir makanan pada musim perayaan - Sim
Bernama
Februari 2, 2019 04:00 MYT
Februari 2, 2019 04:00 MYT
Orang ramai sebolehnya perlu mengelak daripada membazir makanan terutama semasa di musim perayaan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.
Semasa meraikan Tahun Baharu Cina minggu hadapan, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan diet pemakanan yang sihat, mengambil makanan secara sederhana dan tidak melakukan pembaziran makanan.
"Bukan kaum Cina sahaja malah begitu juga apabila tiba bulan Ramadhan, kita dapat lihat banyak makanan yang dibuang, dibazirkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program MyBest Buy 2.0 (MBB) Gong Xi Fa Cai Jalan Rajawali, Bayan Baru pada Sabtu.
Merujuk kepada MBB Sim berkata ia merupakan satu program yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu rakyat di kawasan bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.
MBB 2.0 berkonsepkan pasar pilihan rakyat yang menawarkan pelbagai produk pertanian serta bukan pertanian bagi keperluan setempat dengan harga yang istimewa lagi berpatutan, dan program itu telah mengumpul nilai jualan RM48.3 juta sejak tahun 2014 hingga akhir Disember 2018, beroperasi di 469 lokasi seluruh negara yang melibatkan 2,746 usahawan.
-- BERNAMA
#pemakanan
#sihat diet
#Sim Tze Tzin
#Tahun Baharu Cina
#Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani