'Jangan bawa gaya pegawai atasan ketika bertemu guru' - KPPM

Sinar Harian
November 3, 2023 19:08 MYT
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Datuk Pkharuddin Ghazali bercakap kepada pemberita selepas majlis Bicara Inspirasi KPPM di Auditorium Kompleks E hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) Datuk Pkharuddin Ghazali mengingatkan warga kementerian agar tidak terbawa-bawa gaya seorang pegawai atasan ketika turun bertemu guru dan pendidik di sekolah.
Sebaliknya kata beliau, pegawai atasan tersebut perlu menyelami karakter seorang guru agar golongan itu berasa dihormati dan disanjungi.
"Apabila turun ke bawah tertemu guru, bawa gaya seorang guru jangan bawa gaya duduk kerusi Ketua Setiausaha kementerian (KSU), ketua pengarah dan lain-lain," katanya menerusi ucapan Bicara Inspirasi KPPM bersama pegawai kementerian di sini pada Jumaat.
Menurutnya, sikap terbawa-bawa gaya pegawai atasan dikhuatiri akan menyebabkan ada guru tersinggung dan berkecil hati.
"Guru ini mendidik anak-anak kita janganlah sampai mereka di bawah sana rasa tersinggung" katanya.
Beliau berkata, sifat yang dipamerkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah ketika bertemu rakyat jelata di dalam Kembara Kenali Borneo baru- baru ini wajar dicontohi.
"Tuanku tidak membawa protokol istana dan hanya membawa diri menyelami cara hidup rakyat jelata.
"Kalaulah Tuanku boleh melakukannya, kenapa kita tidak?," soalnya.
Pkharuddin yang bakal bersara wajib Isnin depan berkata, seorang guru perlu sentiasa lebih sabar terutamanya ketika dalam tempoh 10 tahun pertama perkhidmatan.
Ujarnya, tahun-tahun tersebut akan dilalui dengan pelbagai onak dan duri di dalam dunia pendidikan.
"Pegawai muda yang baharu masuk perkhidmatan, belajarlah buat apa sahaja yang ketua kita minta laksanakan," katanya.
Beliau berkata, sabar merupakan antara kunci utama yang membentuk keperibadiannya sehingga sekarang.
"Yang rapat tahulah bila saya susah tetapi kalau jarang-jarang jumpa mungkin tidak tahu," katanya.
Dedah Pkharuddin, sewaktu berada di dalam kesukaran beliau berusaha menunjukkan kekuatan kerana memimpin sebuah organisasi yang besar.
"Kesabaran itu akan mengundang 1001 jalan penyelesaian tetapi jika tidak sabar 1001 masalah akan hadir," jelasnya.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangan selepas bersara, Pkharuddin berkata, beliau akan terus menyumbang kepada negara.
"Saya tidak akan berhenti berfikir mengenai dunia pendidikan," katanya yang telah berkhidmat selama 34 tahun di dalam perkhidmatan awam.
Pkharuddin memasuki perkhidmatan awam dengan memulakan kerjaya sebagai guru dan warden di SM King George V Seremban pada 1 Jun 1989.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Penolong Pengarah Unit Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan selama 13 tahun sejak 1993.
Anak kelahiran Selising Pasir Puteh, Kelantan itu dilantik sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan pada tahun 2017 sehingga 2020.
Beliau meneruskannya khidmatnya di kementerian pada 6 Mei 2020 sebagai Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikurulum) pada 15 Oktober 2021.
Pada 23 September 2022 beliau diberi tanggungjawab sebagai KPPM sehingga berakhir Isnin depan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia #Kementerian Pendidikan #guru #pegawai atasan
;