Jangan batalkan ECRL, ikut usul MB Terengganu
Abdul Muein Abadi
Januari 29, 2019 16:55 MYT
Januari 29, 2019 16:55 MYT
SEKALI lagi Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuktikan bahawa beliau sememangnya seorang teknokrat sejati yang berpandangan jauh.
Di saat Menteri Pakatan Harapan berantakan sesama sendiri tentang status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dr Ahmad Samsuri sebaliknya, mengajukan satu demi satu usul penyelesaian konkrit demi kepentingan negara umumnya dan negeri Terengganu khususnya.
Hakikatnya, sejak Ogos 2018 lagi beliau mengusahakan agar projek ECRL ini – yang digelar sebagai ‘Penyembelih Singapura’ oleh media antarabangsa – tidak dibatalkan begitu sahaja oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Menteri Besar daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu sebaliknya mencadangkan kerajaan Pakatan agar membuka tender baharu kepada syarikat tempatan atau luar negara yang berminat untuk meneruskan projek yang cukup bernilai strategik itu.
Pertimbangan Dr Ahmad Samsuri ini amat relevan lagi rasional memandangkan proses awal pelaksanaan projek ECRL ini sudah pun berjalan – antaranya termasuklah pembinaan laluan, stesen, terowong dan jambatan serta pengambilan alih tanah.
Memetik jawapan beliau kepada media pada 22 Ogos 2018 lalu: "... ada terowong sudah digali sejauh 50 meter dan pada hemat saya, langkah menghentikan pelaksanaan projek ini satu kerugian, sepatutnya boleh buat proses baharu membuka tender kepada syarikat tempatan untuk adakan kerjasama dengan luar negara pada kos munasabah.”
Terbaru, Dr Ahmad Samsuri tidak sama sekali bertindak mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh apabila percanggahan terbuka meletus antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung penamatan kontrak ECRL dengan kontraktor utama China, China Communication Construction Company Ltd (CCCC).
Sebaliknya, Menteri Besar Terengganu ini yang memiliki latar belakang profesion pakar aeroangkasa mengusulkan supaya skala projek ECRL ini diubahsuai berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan Persekutuan.
Seperti mana menurut beliau: "Saya sedar kekangan bagi projek yang sangat positif ini adalah faktor kewangan, jadi di peringkat Persekutuan wajar untuk mempertimbangkan pelaksanaan ECRL dengan skala lebih kecil supaya objektif awal pembangunannya tercapai."
Sesungguhnya, jika kerajaan Pakatan menamatkan sepenuhnya projek ECRL tanpa mempertimbangkan kesemua usul Dr Ahmad Samsuri ini, maka impak negatif ke atas prospek jangka panjang ekonomi dan kepentingan strategik negara tidak dapat dielakkan lagi.
Dalam situasi keyakinan pelabur yang masih belum pulih, sebarang keputusan yang tidak bijak melibatkan ECRL akan merudumkan lagi imej serta reputasi kita.
Demikian juga dari segi impak ke atas pembangunan jangka panjang serta pengurangan jurang antara wilayah Pantai Timur dengan Pantai Barat.
Peluang negeri-negeri Pantai Timur untuk melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar mereka sebanyak 1.5 peratus akan terhapus.
Peluang negeri-negeri Pantai Timur untuk memangkin ekonomi penduduk setempat di sepanjang laluan terlibat serta menjadikan ECRL sebagai mod pengangkutan penting bagi komoditi akan terjejas teruk.
Dari perspektif prospek kepentingan strategik negara pula, perancangan jangka panjang untuk memanfaatkan pemindahan teknologi dari China juga berpotensi terjejas.
Antara yang turut menjadi perhatian ialah rancangan kolaborasi ‘Diplomasi Kereta Api’ Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dengan CRRC China untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran peralatan kereta api di rantau Asia Tenggara.
Paling kritikal tentulah peluang untuk kita memecahkan dominasi sekian lama Singapura dalam kegiatan aktiviti maritim dunia.
Sangat tidak bijak sekiranya kerajaan Pakatan bertindak melepaskan peluang ini: perkiraan jelas menunjukkan bahawa pemindahan kargo sebesar satu tan dari Shenzhen, China ke Pelabuhan Klang melalui Kuantan-ECRL hanya memakan masa selama 135 jam dengan kos sebanyak AS$56 berbanding laluan Singapura yang memakan masa selama 165 jam.
Perlu diingat, lebih separuh daripada muatan armada perdagangan tahunan melalui pusat yang sempit di Selat Melaka dan ia membentuk satu pertiga daripada keseluruhan trafik maritim di seluruh dunia.
Minyak yang diangkut menerusi Selat Melaka dari Lautan Hindi, dalam perjalanan ke Asia Timur melalui Laut China Selatan, adalah sebesar tiga kali ganda berbanding jumlah yang melalui Terusan Suez dan 15 kali ganda jumlah yang transit di Terusan Panama.
Realitinya, China pada hari ini sahaja sudah benar-benar terdesak untuk mendapatkan tenaga yang baharu.
Simpanan minyak yang dikawal Beijing pada 2014 hanya berjumlah 1.1 peratus daripada jumlah simpanan minyak dunia, sedangkan penggunaan minyaknya adalah berjumlah lebih daripada 10 peratus pengeluaran minyak dunia manakala penggunaan tenaganya adalah lebih daripada 20 peratus kesemua penggunaan tenaga di dunia.
Saat ini sahaja 80 peratus daripada keseluruhan import minyak China adalah melalui Selat Melaka – hinggakan bekas Presiden China Hu Jintao pada 2003 memperkenalkan istilah ‘Dilema Melaka’.
Penggunaan tenaga di negara-negara Asia yang sedang membangun dijangka akan meningkat sebanyak dua kali ganda menjelang tahun 2030 nanti – separuh daripada pertumbuhan terbabit adalah dari China.
Terbukti, lonjakan permintaan dalam tempoh beberapa tahun ini pastinya menjanjikan peluang besar kepada ECRL – apatah lagi dalam keadaan hubungan Singapura-Beijing yang semakin hari semakin dingin.
Maka jelas anggaran penggunaan kargo ECRL yang dijangka mencecah 60 juta tan setiap tahun nanti adalah realistik – ditambah pula berdasarkan ‘trend’ permintaan import tenaga dari China yang dijangka meningkat berlipat kali ganda menjelang tahun 2030.
Ringkasnya, usul yang dicadangkan Dr Ahmad Samsuri untuk menyelamatkan projek ECRL demi kepentingan strategik negara ini wajib dipertimbangkan sedalam-dalamnya oleh kerajaan Pakatan.
Ketepikanlah perbezaan politik, buanglah pemikiran berasaskan kapitalis-neoliberal yang mementingkan untung rugi jangka pendek semata-mata.
Sebaliknya, contohilah pendekatan teknokrat Dr Ahmad Samsuri yang berorientasikan kepentingan strategik negara untuk jangka masa panjang.
* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkelulusan Research Master dari Utrecht University, Belanda (2014) dan kini merupakan calon Doktor Falsafah di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.