Jangan banggakan buli, bawa kepada budaya samseng - Dr Mahathir sedih

Bernama
April 29, 2022 14:46 MYT
Semalam polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video berdurasi 25 saat.- Foto ihsan pembaca
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan pelajar bahawa buli bukanlah kegiatan yang boleh dibanggakan.
Sedih dengan kes buli di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi, Kedah yang tular di media sosial semalam, Dr Mahathir berkata tindakan itu hanya membawa kepada budaya samseng.
"Kini ia menjadi kes polis. Saya harap semua pelajar terlibat sedar dan ambil peringatan buli bukanlah sesuatu yang harus kita banggakan," kata Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menerusi catatan di akaun Twitter rasminya.
Semalam, media melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video berdurasi 25 saat.
Kes Buli | 13 pelajar ditahan, ejek mengejek punca gaduh
Kejadian pada 9 pagi Rabu itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain dengan mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata 13 pelajar tingkatan empat sekolah terlibat ditahan bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
#pukul pelajar #Dr Mahathir #Langkawi #buli #Tular
;