'Jangan bagi bantuan saja, didik mereka' - Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan
Hilal Azmi
November 12, 2016 18:37 MYT
November 12, 2016 18:37 MYT
Kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme mendidik kepada penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) agar bantuan yang diterima dimanfaatkan sebaiknya.
Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, cadangan itu amat penting memandangkan jumlah penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kini mencecah 7 juta orang.
“Masalah kita sekarang, kerajaan memang ada membantu, tetapi tidak mendidik.
“Jangan bagi bantuan saja, didik mereka.
“Sebagai contoh, penerima BR1M umpamanya, ketua keluarga dapat wang, terus dibelanja untuk beli rokok.
“Maka, tak gunalah bantuan tu, sepatutnya ia perlu datang dengan ikrar bahawa bantuan itu penting sebagai usaha melengkapkan keperluan seperti beras selama setahun,” katanya ketika menjadi panel forum bertajuk ‘Kaya Atau Miskin: Takdir Atau Pilihan?’ sempena Forum Pengguna Islam ke - 6 anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia di sini hari ini.
Jelasnya lagi, pendidikan seperti i bukan sahaja memberi kesedaran kepada golongan yang mendapat bantuan, tetapi ia juga mampu membantu mereka untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
Tanpa menafikan usaha kerajaan dalam pembangunan fizikal, beliau menganggap usaha mendidik ini amat penting bagi melengkapkan bantuan kewangan yang diberikan.