Jangan asyik buat 'live video' - Bomba

Bernama
Januari 23, 2018 04:48 MYT
Panggilan awal kecemasan akan dapat membantu mengelak kebakaran menjadi semakin marak, selain dapat menyelamatkan mangsa. - Gambar hiasan
Orang ramai diingatkan agar tidak terlalu obses untuk memuat naik 'live video' dalam media sosial apabila melihat berlaku kebakaran sehingga terlupa membuat panggilan kecemasan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata tindakan sedemikian bukan sahaja melambatkan penyampaian maklumat untuk menyelamat tetapi juga boleh mengundang kecelakaan yang tidak diingini.
"Apabila masyarakat lambat menghubungi talian kecemasan ketika kebakaran hanya kerana ingin memuat naik video secara langsung di Facebook, kemungkinan api akan merebak lebih besar.
"Jika mendapat panggilan awal mungkin pihak bomba boleh terus memadam kebakaran daripada merebak, berbanding mengawal kebakaran apabila api semakin marak sebelum memadamkannya," kata beliau ketika ditemui media selepas Majlis Perbarisan Tahunan Bomba di sini pada Selasa.
Beliau berkata panggilan awal kecemasan akan dapat membantu mengelak kebakaran menjadi semakin marak, selain dapat menyelamatkan mangsa.
Azlimin berkata keadaan sedemikian (live video) pernah berlaku sebelum ini, dan pihaknya hanya mengetahui mengenai kejadian kebakaran ketika itu melalui video tersebut tanpa ada sesiapa menghubungi pihak bomba.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menggunakan aplikasi iBOMBA yang diperkenalkan 18 Jan lalu, dan boleh dimuat naik dalam telefon pintar android.
"Dalam aplikasi iBOMBA, panggilan pengguna akan disampaikan kepada 999 dan akan terus ke Jabatan Bomba. Pada masa ini, kita tahu telefon bimbit sentiasa ada di tangan dalam sebarang keadaan, sebab itu kita rasa dengan aplikasi ini lebih memudahkan masyarakat membuat panggilan semasa kecemasan.
"Melalui aplikasi iBOMBA juga, hanya dengan menekan 999 yang terdapat pada aplikasi berkenaan panggilan itu akan disambung terus kepada jabatan bomba mahupun pegawai bomba tanpa dikenakan sebarang bayaran," katanya
Melalui iBOMBA juga, beliau berkata masyarakat boleh mendapatkan maklumat tambahan yang diperlukan mengikut kesesuaian dengan kes kecemasan dihadapi.
-- BERNAMA
#API #aplikasi #Azlimin Mat Noor #bomba #Facebook #iBOMBA #kebakaran #live video #mangsa #Media #media sosial #muat naik #panggilan kecemasan #telefon pintar #video
;