Jangan anjur pesta durian - Polis Perak
Abd Razak Mohd Ali
Jun 27, 2021 12:48 MYT
Jun 27, 2021 12:48 MYT
IPOH: Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menganjurkan majis sosial, termasuk pesta durian, kerana ia melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Polis Negeri Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mengikut SOP, bukan sahaja mereka tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri, malah aktiviti sosial rasmi dan tidak rasmi juga tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai masih boleh menikmati raja buah itu kerana penjualan dan pembeliannya masih dibenarkan.
"Memang sekarang ini musim durian. Semua orang hendak makan durian. Tetapi, gunakan saluran yang dibenarkan.
"Memang orang berniaga durian dibenarkan untuk berniaga, dan kita dibenarkan untuk membeli.
"Banyak dijual durian sekarang ini, di seluruh negara ada.
"Ada musim durian, tetapi kita tidak benarkan pesta durian dan sebagainya dianjurkan,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial, tangkap layar gambar beberapa orang termasuk artis terkenal tanah air bergelar Datuk yang didakwa menyertai ‘kenduri durian’ di Kampung Poh, Bidor.
Ekoran daripada itu, polis akan memanggil beberapa individu termasuk artis berkenaan, bagi membantu siasatan dakwaan melanggar SOP PKP 3.0.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mereka akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
#pesta durian
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#media sosial
#SOP
#Datuk
#artis
#Tapah
#Mior Faridalathrash Wahid
#aktiviti sosial
#majlis sosial
#rentas daerah
#rentas negeri