Jangan anggap tempoh sekolah tutup sebagai cuti - Habibah

Fauzi Suhaimi
November 10, 2020 17:02 MYT
Menurut Dr Habibah Abdul Rahim, proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) perlu diteruskan seperti biasa sehingga tamat penggal pada 17 dan 18 Disember 2020. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Tempoh penutupan sekolah sehingga tamat penggal tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bukanlah waktu cuti bagi semua murid atau pelajar serta guru-guru.
Sebaliknya, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) perlu diteruskan seperti biasa sehingga tamat penggal pada 17 dan 18 Disember 2020.
Katanya, PdP juga perlu dilakukan secara dalam talian melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
"Kami amat berharap agar semua guru masih bekerja di stesen tempat bertugas masing-masing dan (tempoh ini) tidak boleh ambil kira tempoh cuti.
"Oleh itu, kita minta supaya pentadbir sekolah pastikan guru dan murid laksanakan PdP menerusi PdPR," katanya dalam sesi taklimat bersama media di sini pada Selasa.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin pada Ahad mengumumkan penutupan semua sekolah di negara bermula 9 November 2020 hingga hari terakhir persekolahan tahun ini.
BACA: Sekolah, Kolej Vokasional seluruh negara tutup hingga hujung tahun
Mengulas lanjut, Habibah berkata, semua guru juga dibenarkan untuk menggunakan kemudahan di sekolah jika diperlukan.
"Mereka boleh mengaturkan untuk pergi ke sekolah dengan mendapat kelulusan dan penjadualan oleh ketua jabatan, pengetua dan guru besar masing-masing.
"Namun, bagi mereka yang tidak perlu, maka mereka boleh terus bekerja dari rumah," katanya.
#pengajaran dan pembelajaran #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #pendidikan #pelajar #sekolah #Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Habibah Abdul Rahim #sekolah tutup #bukan tempoh cuti
;