Jangan anggap pejuang hak komuniti Bajau laut sebagai musuh - Pensyarah

Farhan Hakimi
Julai 2, 2024 13:00 MYT
Kerajaan disaran untuk tidak menganggap masyarakat dan gerakan sivil yang memperjuang hak komuniti Bajau laut sebagai musuh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk tidak menganggap masyarakat dan gerakan sivil yang memperjuang hak komuniti Bajau laut sebagai musuh.
Sebaliknya, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Abdul Muqit Muhammad berkata, kerajaan perlu memanfaatkan peluang dengan menambah baik usaha yang digerakkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.
Menurut beliau, pada ketika ini, wujud kesenjangan dari segi komunikasi antara mereka yang terlibat di lapangan dan juga pihak kerajaan.
"Sebagai contoh Borneo Komrad (NGO) ada buat pendidikan alternatif dengan mewujudkan satu sekolah kepada komuniti ini namun, pendidikan alternatif bersifat sementara sahaja.
"Jadi kerajaan perlu memanfaatkan sepenuhnya kehadiran NGO seperti Borneo Komrad ini untuk menambahbaik pendidikan alternatif sedia ada, sementara kita menunggu penyelesaian yang lebih tuntas oleh pihak kerajaan.
"Kerajaan khususnya dengan kapasiti yang mereka ada, seharusnya selari dengan slogan yang dilaungkan tentang karomah insaniah dan sebagainya.
"Perkara ini selalu disebut Perdana Menteri kita, tentang martabat insan umpamanya, jadi bagaimana martabat insan itu akan diangkat melalu isu adat laut ini kalau mereka tidak diberikan hak yang sewajarnya?" ujar beliau dalam program AWANI Pagi pada Selasa sebagai mengulas berkenaan prinsip keadilan bagi komuniti Bajau laut di Sabah.
Tambahnya, sekiranya kemelut ini tidak diberikan penyelesaian yang tuntas, negara akan dilanda kegiatan jenayah yang akan menjejaskan kehidupan komuniti tempatan.
Sebelum ini, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) menyeru pihak berkuasa untuk menghentikan segera pengusiran dan pemusnahan rumah Bajau Laut.
CENTHRA turut menggesa agar kerajaan menghormati dan melindungi hak bajau laut termasuk terus melindungi masyarakat bajau laut dengan mengiktiraf warisan budaya dan cara hidup mereka yang unik, yang secara sejarahnya berkait rapat dengan wilayah maritim Sabah.
Ia susulan daripada tindakan pengusiran dan pemusnahan kediaman milik lebih 500 individu Bajau laut di Sabah.
Tindakan yang dilaporkan sebagai sebahagian daripada tindakan keras yang diambil terhadap individu tanpa dokumen, disifatkan sebagai pencabulan hak asasi manusia dan memerlukan penilaian segera dibuat terhadap amalan penguatkuasaan di negara ini.
#bajau laut #pejuang hak komuniti #Borneo Komrad #NGO
;