Jangan ambil tasik kami!

Hafiz Marzukhi
April 22, 2018 23:31 MYT
Badiuzzaman minta DBKL untuk memastikan setiap rizab kawasan awam dibangunkan untuk kesejahteraan penduduk setempat. - Astro AWANI/Hafiz Marzukhi
Sekumpulan penduduk di kawasan Parlimen Batu membantah sebarang penyerahan rizab kawasan lapang, kawasan takungan air dan rekreasi tidak diserahkan kepada pihak pemaju bagi tujuan komersial.
Wakil penduduk setempat, Badiuzzaman Ali, meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memastikan setiap rizab kawasan awam dibangunkan untuk kesejahteraan penduduk setempat.
"Kami merujuk kepada sebuah tasik di Selayang yang bersempadan di antara Kampung Selayang Lama, Taman Sri Murni Fasa 3 dan Pasar Borong Selayang.
"Kawasan ini sudah dirizabkan sebagai Kawasan Hijau, Rekreasi dan Takungan Air," dakwanya berdasarkan semakan di Pejabat Tanah Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Selayang petang Ahad.
Turut hadir, penyandang Parlimen Batu, Tian Chua yang menyatakan sokongan kepada penduduk terhadap isu tersebut.
"Ini merupakan isu yang penting dan saya sebagai penyandang Parlimen Batu akan mengambil maklum dan memperjuangkan isu ini sama ada saya dicalonkan atau tidak," katanya.
#DBKL #Kampung Selayang Lama #kawasan rekreasi #kawasan takungan air #Kuala Lumpur #MalaysiaMemilih #Parlimen Batu #Pasar Borong Selayang #rizab kawasan lapang #Taman Sri Murni Fasa 3 #Tian Chua