Jangan ambil mudah isu keselamatan serantau - Najib

Wan Syamsul Amly
April 18, 2016 17:57 MYT
NAJIB: Semua pihak diminta tidak mengambil mudah isu keselamatan serta keamanan serantau yang selama ini dikecapi semua. -Gambar fail
Semua pihak diminta tidak mengambil mudah isu keselamatan serta keamanan serantau yang selama ini dikecapi semua.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia merupakan bentuk kerjasama jangka panjang yang harus ada di setiap negara di dunia.
Jelasnya, ia termasuk subjek di dalam Deklarasi Zon Keamanan, Kebebasan dan berkecuali (ZOPFAN) dan persetujuan yang dicapai dalam Mesyuarat Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).
"Ia tentang pertahanan dan cabaran keselamatan serantau termasuk keselamatan maritim, menangani pengganas, operasi pengaman, kemanusiaan, bantuan bencana, perubatan ketenteraan, kemanusiaan dan tidak lama lagi, keselamatan siber. Ia bakal menjadi nilai kepentingan yang diutamakan serantau.
"Semua mekanisme yang berkenaan dilihat penting menjelang ASEAN mencapai 50 tahun pada 2017," katanya semasa berucap pada perasmian Forum Putrajaya sempena Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di sini hari ini.
Forum Putrajaya adalah wacana antarabangsa yang dianjurkan setiap dua tahun oleh Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS).
Tema utama forum pada tahun ini adalah 'Kerjasama Serantau Dalam Menangani Cabaran-cabaran Keselamatan'.
Ia menarik 500 peserta dari 51 negara iaitu ASEAN bersama lapan negara anggota.
Forum itu turut membabitkan Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha di Kementerian Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera.
Dalam pada itu, kata Najib, kerajaan juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa sektor swasta untuk memastikan tahap keselamatan negara sentiasa terjamin.
#ADMM #Deklarasi Zon Keamanan #DSA #Kebebasan dan berkecuali #Najib Razak #ZOPFAN
;