Jangan ambil kesempatan dalam kebebasan rentas negeri
Rahimah Abdullah
Jun 8, 2020 15:12 MYT
Jun 8, 2020 15:12 MYT
Jangan mengambil kesempatan atas kebebasan yang diberikan susulan kebenaran rentas
negeri bermula 10 Jun ini.
Ingatan itu dinyatakan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mahu orang ramai terus mengamalkan kawalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa berada di kampung halaman.
"Saya percaya ramai akan balik kampung dan saya harap walau ada kebenaran rentas negeri, tetapi kawalan kendiri mesti dikekalkan. Dulu kita keluarkan SOP bahawa sambutan raya tidak boleh lebih 20 orang untuk satu rumah. Kita perkenalkan SOP itu untuk keselamatan diri,dan keluarga. Kita juga beri ingatan kepada mereka lebih 60 tahun dan anak kurang dari 12 tahun yang berisiko tinggi.
"Kita juga perlu hati-hati sebab kemungkinan ketibaan kita bersama mereka akan sebabkan berlaku jangkitan COVID-19. Jadi walaupun kita kata bebas, jangan ambil kesempatan kebebasan itu hingga sebabkan jangkitan pada orang lain. Kawalan kendiri, disiplin, penjagaan kebersihan diri, penjarakan sosial perlu diteruskan walau ada kebebasan ini," katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.
Malah, beliau yakin aktiviti pelancongan akan kembali rancak dan orang ramai akan mula membawa keluarga keluar bercuti dalam negara.
"Selepas ini saya percaya aktiviti pelancongan juga akan bermula dalam negara. Kita jangka akan menjadi semakin rancak, dan saya tengok dalam media tak sampai satu jam, 1,000 tempahan telah dibuat di hotel," ujar beliau.