Jangan ambil kesempatan atas isu 1MDB - Ketua Polis Negara

Astro Awani
Julai 10, 2015 23:50 MYT
KHALID: Semua pihak termasuk ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap isu 1MDB. -Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dan mengambil kesempatan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu sesiapa sahaja -- tidak kira individu, ahli politik atau badan bukan kerajaan -- diingatkan supaya tidak menambah kekusutan di dalam kemelut yang melanda.
“Saya rasa semua pun tahu saya dah arahkan satu siasatan dibuat terhadap satu komen oleh seorang ahli politik yang menggesa diadakan demonstrasi besar-besaran.
“Saya ingin bagi ingatan kepada semua ahli politik, individu, NGO, jangan cuba mengambil kesempatan dengan kemelut di negara kita sekarang.
Kami tidak akan membenarkan cubaan menangguk di air keruh, anjur demonstrasi, ancam ketenteraman awam, minta letak jawatan dan sebagainya. Kita takkan benarkan,” kata Khalid.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program rondaan bersama PDRM-Angkatan Tentera Malaysia (ATM) fasa ketiga di Dataran Taming Sari, Melaka.
Tambah Khalid, beliau juga telah mengarahkan satu siasatan dijalankan terhadap seorang ahli politik berhubung komen untuk mengadakan satu demonstrasi besar-besaran berikutan isu tersebut.
Dalam pada itu, mengenai rondaan bersama PDRM-ATM, menurut Khalid fasa ketiga itu melibatkan tambahan sebanyak 30 lokasi lagi menjadikan jumlah keseluruhannya 100 kawasan.
Katanya, gabungan kedua-dua badan keselamatan itu mampu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan mereka.
Mengikut statistik, katanya, secara keseluruhan kadar jenayah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu antara Januari sehingga Jun lalu menunjukkan penurunan sebanyak 14 peratus iaitu dari 65,336 kes tahun lalu kepada 56,175 tahun ini.
Antara yang merekodkan penurunan ketara adalah kes jenayah jalanan yang menurun sebanyak 27 peratus, kes ragut menurun sebanyak 19.1 peratus dan pecah rumah menurun sebanyak 10.4 peratus.
#1MDB #ahli politik #demonstrasi #jenayah #Khalid Abu Bakar #polis
;