Jangan Ali-Babakan projek kerajaan

Bernama
November 19, 2012 15:04 MYT
Kontraktor Bumiputera diingatkan supaya tida 'mengalibabakan' projek kerajaan yang diberikan kepada mereka kerana ia hanya akan merugikan diri sendiri, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat.
Hamisa berkata amalan kurang sihat itu akan menyebabkan para kontraktor tidak lagi diberikan kepercayaan untuk melaksanakan sebarang projek baru kerajaan.
"Ada kontraktor hanya mengambil komisyen daripada tender projek yang diberikan kepada mereka. Ini akan menyukarkan mereka mendapat projek lain pada masa depan. Ketelusan adalah aspek penting untuk membolehkan mereka diberi kepercayaan oleh agensi kerajaan negeri dan pusat," katanya ketika berucap pada majlis penutup Kursus Kontraktor Jalan Raya di sini, petang semalam.
Kursus tiga hari bermula Jumaat lepas itu disertai 37 peserta terdiri daripada kontraktor kecil-kecilan.
Menurut Hamisa sikap kontraktor Bumiputera yang gemar melantik subkontraktor untuk menyiapkan projek perlu dikikis kerana akhirnya akan menyebabkan mereka disenarai hitam, jika gagal menyiapkan projek.
Katanya, ramai golongan muda kini memilih bidang kontraktor sebagai kerjaya dan menasihatkan mereka agar komited melaksanakan tanggungjawab serta sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan.
#Ali Baba #Datuk Hamisa Samat #projek kerajaan
;