Jangan aibkan Najib - Ketua Pemuda UMNO
Bernama
Julai 4, 2018 10:49 MYT
Julai 4, 2018 10:49 MYT
Jangan aibkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum beliau dibuktikan bersalah, kata Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau yang tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan kepada Anggota Parlimen Pekan itu berkata, selama ini Najib hanya diadili di mahkamah media dan bukannya mahkamah sebenar.
"Biar mahkamah jalankan proses perbicaraan dengan adil dan telus, kita mengharapkan supaya dia (Najib) diberi keadilan dan jangan kita menghukum sebelum mahkamah menghukum.
"...dan kita juga jangan aibkan dia sebelum dia terbukti bersalah oleh mahkamah," katanya.
Justeru, beliau menyeru rakyat yang beragama Islam untuk kembali kepada prinsip yang diajar dalam agama dan undang-undang sebelum bersangka buruk terhadap Najib.
Terdahulu, Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi pendakwaan berhubung dana syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di sini pada 2.35 petang semalam dan dibawa ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
-- BERNAMA
#bekas perdana menteri
#Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
#Datuk Seri Najib Tun Razak
#Ketua Pemuda UMNO
#Mahkamah Kuala Lumpur
#SPRM