Jangan ada unsur sabotaj - CEO MQA
Bernama
April 23, 2019 17:48 MYT
April 23, 2019 17:48 MYT
Jangan ada unsur sabotaj dalam organisasi sehingga menjejaskan usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Datuk Dr Rahmah Mohamed.
"Kita boleh berbeza dari segi fahaman politik, namun untuk berkhidmat kepada rakyat, kita tidak wajar menggunakan perbezaan kelompok, kaum atau agama sebagai penghalang," katanya.
Berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MQA di sini hari ini, Rahmah berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seringkali mengingatkan tanggungjawab penjawat awam untuk melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi tanpa membelakangkan kepentingan negara.
"Imej kerajaan, kementerian dan seluruh agensi hendaklah sentiasa dipelihara," katanya. Seramai 27 pegawai MQA menerima APC pada majlis itu.
Rahmah turut mengingatkan warga MQA supaya tidak sesekali membalas kritikan netizen dengan bahasa kurang sopan walaupun untuk mempertahankan diri.
"Sebagai penjawat awam, tuan-tuan dan puan-puan hendaklah mengetahui batas-batas perhubungan dalam komunikasi serta mematuhi etika penggunaan media sosial," katanya.
Dalam pada itu, Rahmah berkata warga MQA perlu lebih kreatif dan berinovatif dalam mendepani gelombang Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).
Justeru, katanya semua warga MQA perlu lebih peka dan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, terutamanya dalam bidang teknologi maklumat bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kerja.
-- BERNAMA
#bahasa kurang sopan
#CEO
#IR 4 0
#kerajaan
#kritikan netizen
#Mahathir Mohamad
#MQA
#penjawat awam
#perkhidmatan
#politik
#Rahmah Mohamed
#rakyat
#Revolusi Industri Keempat