Jangan abaikan pandangan Tun Mahathir - Khairy
Norsiah Mohd Ramli
April 4, 2015 13:42 MYT
April 4, 2015 13:42 MYT
Isu yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh diabaikan kerana ia perkara yang mendapat perhatian ramai, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, kerajaan perlu bertindak segera dengan memberi jawapan terhadap isu yang dibangkitkan bagi mengelak ia menjadi bertambah meruncing.
"Sebagai seorang bekas perdana menteri, kita harus mendengar dan menghayati apa yang ditulis beliau. Bagi saya, kita tidak boleh buat tidak tahu saja apa yang dibangkitkan Dr Mahathir.
"Buat tidak tahu bukan pilihan. Kita tidak boleh cuba buat tidak tahu. Kalau kita buat tidak tahu masalah ini akan menjadi lebih teruk lagi.
"Kita perlu selesaikan masalah itu. Apa yang Dr Mahathir bangkitkan kita perlu jawab walaupun kita rasa jawapan sudah diberikan, kena jawab lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Universiti Teknologi Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, kerajaan perlu bersedia menjawab apa juga isu yang dibangkitkan tidak kira ia melibatkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembelian jet kerajaan atau dakwaan pembunuh warga Mongolia Altantuya Sharibuu.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata, apa yang dimahukan Dr Mahathir ialah semua persoalan dijawab Najib sendiri supaya lebih berkesan.
"Saya fikir itu yang Dr Mahathir mahu. Kita boleh buat penjelasan tetapi pada pandangan saya, yang paling berkesan apabila perdana menteri sendiri memberi penjelasan tersebut," katanya lagi.
Khairy bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir yang mengatakan Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di bawah kepimpinan Najib.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, biarpun sedang berdepan waktu sukar dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tetapi itu tidak memberi gambaran kekalahan BN dalam pilihan raya akan datang.
"Kita tidak setuju. Kalau kita setuju saya tidak akan menyatakan sokongan dan keyakinan Pemuda dan saya sebagai menteri kepada kepimpinan Najib.
"Sudah pasti kita sedang melalui satu keadaan yang agak sukar kerana kita baru saja melaksanakan GST. Kita pun tahu dalam pelaksanaan GST ini akan mengundang ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat.
"Tetapi janganlah sampai kita buat kesimpulan oleh kerana apa yang sedang kita lalui hari ini bermaksud kita akan kalah pilihan raya di bawah Najib," katanya.
Khamis lalu, Dr Mahathir memberikan kritikan paling keras terhadap Najib dan mendakwa rakyat Malaysia tidak mempercayai perdana menteri itu dan meramalkan BN akan tewas dalam PRU14 sekiranya terus mengetuai UMNO.