Janda anak lima dicekup berkhalwat dengan duda anak satu
Adie Sufian Zulkefli
Januari 1, 2024 09:25 MYT
Januari 1, 2024 09:25 MYT
KULIM: Seorang janda anak lima dicekup berkhalwat dengan duda anak satu selepas didapati bersekedudukan di dalam sebuah bilik motel di sini dalam operasi Pejabat Agama Daerah Kulim sempena Tahun Baru 2024, awal pagi Isnin.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, selepas mengetuk pintu pada jam 1.15 pagi, lelaki itu membuka pintu bilik berkenaan dan membenarkan pihaknya menjalankan pemeriksaan.
Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan di dalam bilik motel itu, lelaki berusia 40 tahun itu bersama anak lelakinya berada di dalam bilik itu dengan seorang wanita.
“Ketika itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun disyaki anak lelaki berkenaan turut berada di dalam bilik motel berkenaan.
"Lelaki yang juga pekerja kedai makan itu memberi alasan hanya datang menghantar makanan kepada wanita berusia 32 tahun itu.
"Bagaimanapun, soal siasat mendapati, wanita itu tidak bekerja dan sudah seminggu tinggal di bilik motel berkenaan yang dibayar lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Anwar Sharifudin berkata, pasangan itu mendakwa berkenalan di sebuah kedai makan di tempat lelaki itu bekerja.
“Pemeriksaan juga mendapati, mereka tidak memiliki sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.
“Wanita itu berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ditahan kerana disyaki berkhalwat," katanya.
Sementara itu, dalam tangkapan berasingan di sebuah bilik hotel di Taman Melawis di sini, pihaknya menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam dengan pasangannya yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang pada jam 2.06 pagi.
Anwar Sharifudin berkata, lelaki yang beralamat tempat di Kuala Lumpur itu mendakwa berkenalan dengan pasangannya yang berasal dari daerah ini melalui media sosial, sejak lebih sebulan lalu.
"Mereka memberi alasan hanya datang berehat di hotel itu selepas menyaksikan pertunjukan bunga api di Pulau Pinang.
Anwar Sharifudin berkata, kedua-dua pasangan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.