Janda anak dua ditahan bawa syabu dalam sekatan jalan raya

Astro Awani
Julai 26, 2015 12:26 MYT
Hasil empat jam sekatan jalan dilakukan ke atas penunggang motosikal, pihak berkuasa telah mengeluarkan 257 helai saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. - Gambar Fail
Gara-gara ketagihan dadah seorang janda beranak dua tertangkap bersama tiga tiub dadah jenis syabu dalam satu sekatan jalan raya di Kuala Lumpur pada Sabtu malam.
Wanita berusia 37 tahun itu ditahan ketika dalam perjalanan dari Selayang, Selangor ke ibu negara dengan menunggang sebuah motosikal miliknya.
Dadah terbabit ditemui dalam kotak tisu.
Operasi yang digerakkan pasukan Trafik Kuala Lumpur ini dilakukan serentak di tiga lokasi di Jalan Tun Perak, Bulatan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut.
Hasil empat jam sekatan jalan dilakukan ke atas penunggang motosikal, pihak berkuasa telah mengeluarkan 257 helai saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Lesen memandu tamat tempoh, nombor plate tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi dan tiada lesen memandu antara kesalahan tertinggi dikesan. Polis turut menyita 15 buah motosikal.
Operasi bersepadu ini turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan Kuala Lumpur dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sejumlah 27 notis arah periksa dan 69 saman dikeluarkan JPJ, manakala 17 helai saman dan arah periksa dikeluarkan JAS.
Operasi berakhir jam 3 pagi tadi.
Terdahulu dalam operasi berasingan yang digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menemui dadah dipercayai heroin yang disembunyikan dalam kontena di kawasan rumah kedai Wangsa Melawati, Desa Melawati.
Dalam serbuan bermula jam 8 malam Sabtu itu, polis pada mulanya hanya menemui jerami padi yang dipercayai untuk makanan kuda namun pada jam 11.30 malam, dadah yang dicari akhirnya ditemui.
Polis turut menjalankan siasatan ke atas beberapa individu warga Pakistan yang bekerja di negara ini serta dua rakyat tempatan yang mempunyai kaitan dengan proses kontena berkenaan.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan pihak polis mengenalpasti dalang sebenar aktiviti pengedaran dadah dipercayai dibawa dari Pakistan itu.
#Bulatan Jalan Tun Perak #Jalan Raja Laut #Syabu #Trafik Kuala Lumpur #Tun Perak
;