Jana Wibawa: 'Itu tuduhan liar, tidak bertanggungjawab' - Azam Baki

Sinar Harian
Februari 21, 2023 21:15 MYT
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, itu adalah tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki yang mendakwa suruhanjaya itu menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial itu, individu tersebut mendakwa tawaran itu dibuat agar Wan Saiful menukar kenyataan dan mengatakan bahawa telah menerima arahan daripada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerima wang rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, itu adalah tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.
"SPRM akan membuat laporan dan siasatan akan dijalankan.
"Ini manusia yang tidak bertanggungjawab dan SPRM akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
BACA: Jana Wibawa: Wan Saiful mengaku tidak bersalah dua pertuduhan rasuah
BACA: Saya serah kepada SPRM siasat kes Jana Wibawa - Muhyiddin
BACA: Jana Wibawa: Tengku Zafrul sudah beri keterangan kepada SPRM
Tambah Azam, dakwaan itu merupakan fitnah dan individu terbabit merupakan penipu dan manusia beginilah yang merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap SPRM.
Pada Selasa, Wan Saiful mendakwa pertuduhan melibatkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) ke atasnya dilakukan bagi mengalih tumpuan susulan kegagalan Kerajaan menangani masalah rakyat.
Jelasnya, kegagalan itu cuba ditutup dengan mewujudkan pertuduhan yang tidak sepatutnya berlaku.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kuala Lumpur atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta, tahun lalu.
- Sinar Harian
#Jana Wibawa #SPRM #tindakan undang-undang #Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki
;