Jana Wibawa: 27 Sept sebutan semula kes salah guna kedudukan Muhyiddin

Bernama
Ogos 30, 2024 14:00 MYT
Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat. - Foto fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 27 Sept ini bagi sebutan semula kes salah guna kedudukan untuk suapan RM232.5 juta projek Jana Wibawa yang dihadapi bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin memaklumkan Mahkamah Rayuan telah menjadualkan semula keputusan permohonan Presiden Bersatu itu untuk menyemak semula keputusan mahkamah tersebut yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.
Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 20 Ogos bagi keputusan semakan itu namun pada 12 Ogos lepas, ia telah dijadualkan semula ke 11 Sept.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin hadir bagi pihak pendakwaan.
Pada 15 Ogos tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan berkenaan selepas mendapati ia kabur dan tidak berasas kerana tidak menyatakan butiran kesalahan yang dilakukan.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Pada 28 Feb tahun ini, panel Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M Komathy Suppiah membenarkan permohonan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan empat tuduhan salah guna kuasa dan memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pada 27 Mac, Muhyiddin memohon semakan, mendakwa keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah terbatal kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu pada masa itu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Sentral antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.
-- BERNAMA
#Jana Wibawa #Muhyiddin Yassin #sebutan semula #salah guna kedudukan