Jamuan hari raya anak-anak Tualang sempena aidilfitri

Astro Awani
Ogos 11, 2013 14:30 MYT
Mengeratkan hubungan silatulrahim dan saling mengenali di antara penduduk kampung merupakan amalan yang disaran Rasulullah SAW seperti mana dilakukan baginda.
Justeru generasi muda dari Mukim Tualang Pokok Sena, Kedah merasa terpanggil untuk memupuk hubungan kekeluargaan di antara penduduk dari 20 buah kampung di Mukim Tualang.
Bagi menghimpun generasi muda dan warga tua dari Mukim Tualang itu, satu majlis perjumpaan dan jamuan hari raya ‘anak-anak Tualang’ diadakan di hadapan Masjid Kampung Tengah, Tualang malam tadi.
Sempena cuti aidilfitri yang masih ada, jamuan hari raya itu dapat menghimpun lebih 5,000 anak Tualang yang masih menetap di mukin itu dan juga anak Tualang perantauan dari seluruh negara terutamanya di Kedah.
Program itu dihidupkan semula, setelah kali terakhir diadakan semasa sambutan aidilfitri lima tahun lepas
Pengerusi jawatankuasa penganjur program itu, Mohd Zamri Abdullah berkata, majlis seperti itu dapat membina kembali ikatan kejiranan dan kekeluargaan di antara penduduk kampung yang kini dilihat agak renggang kerana masing-masing bertugas dan merantau keluar dari Mukim Tualang.
Katanya, perjumpaan itu dapat memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan merapatkan hubungan dengan warga tua dari mukim itu.
Mohd Zamri berkata bagi menceriakan majlis itu untuk menarik minat golongan dewasa satu kumpulan gendang marhaban dan berzanji dari mukim tualang sendiri diundang bagi membuat persembahan.
Manakala bagi menarik minat genarasi muda hadir ke majlis itu, satu layar gergasi dipasang bagi membolehkan mereka menyaksikan siaran langsung perlawanan bola sepak di antara pasukan Malaysia dengan kelab dari Itali Barcelona.
Sementara itu, rata-rata anak perantauan yang hadir ke majlis itu melahirkan rasa gembira kerana dapat bertemu rakan-rakan lama mereka yang telah terputus hubungan sejak beberapa tahun.
Sementara itu Imam Masjid Kampung Tengah, Mohd Idris Abdul Rahman melahirkan kebanggaan dengan inisiatif anak-anak muda dari Mukim Tualang yang mampu menganjurkan program yang dapat menghimpunkan seluruh masyarakat dari Mukim Tualang.
Terdapat kira-kira 15,000 orang penduduk tinggal di Mukim Tualang dari 20 buah kampung.
#Anak-anak Tualang #Mukim Tualang
;