Jamuan durian selebriti kosmetik tular, polis buka kertas siasatan

Umavathi Ramayah
Julai 31, 2021 20:58 MYT
Ku Mashariman memberitahu, polis akan memanggil selebriti itu dalam masa terdekat. - Gambar/ Media sosial
PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang selebriti kosmetik berhubung siaran langsung jamuan durian bersama beberapa individu yang tular di media sosial, pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superitendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, polis memulakan siasatan ke atas selebriti itu selepas tangkap layar video terbabit tular di media sosial.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati selebriti itu melanggar prosuder operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pada 30 Julai lalu, lebih kurang 1.10 tengah hari, tular satu tangkap layar yang tular di media sosial memaparkan seorang selebriti pengusaha kosmetik bersama-sama beberapa individu menjamu durian.
"Tangkap layar itu telah dikongsi lebih 4,000 kali media sosial," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Langgar SOP | Polis siasat usahawan kosmetik jamu durian
Mengulas lanjut, Ku Mashariman memaklumkan polis menerima laporan berhubung insiden itu kira-kira pukul 4 petang, Sabtu.
"Kita akan panggil pengusaha kosmetik itu dalam masa terdekat," jelasnya.
Siasatan kes itu dijalankan mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, Pelan Pemulihan Negara 2021 dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Beliau turut mengesahkan selebriti itu popular dan mempunyai ramai pengikut di media sosial.
Sehubungan itu, Ku Mashariman menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara.
"Orang ramai juga dingatkan supaya berhati-hati memuat naik atau berkongsi apa-apa kenyataan atau kandungan di media sosial supaya tidak menimbulkan spekulasi yang boleh mendatangkan fitnah atau kemudaratan kepada ketenteraman awam," katanya.
#selebriti kosmetik #jamuan durian #Tular #viral #polis #kertas siasatan #MKN #SOP #ingkar SOP
;