JaminKerja: Majikan diseru ambil kira perubahan sosial - Perdana Menteri
Hasimi Muhamad
Februari 19, 2022 12:54 MYT
Februari 19, 2022 12:54 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyeru pihak industri untuk melaksanakan strategi pengambilan pekerja yang lebih baik dengan mengambil kira perubahan sosial termasuk suasana pekerjaan yang lebih fleksibel agar padanan yang lebih baik dapat diwujudkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan pencari kerja.
Jelas beliau, majikan juga perlu lebih kreatif dalam memberi jaminan pekerjaan yang baik kepada para pekerja supaya mereka kekal bersama majikan tersebut.
“Oleh sebab itu jugalah, kerajaan terus beriltizam untuk membantu lebih ramai Keluarga Malaysia yang mengalami nasib yang sama ataupun yang berdepan dengan cabaran yang berbeza untuk mendapatkan pekerjaan,” kata beliau semasa berucap melancarkan Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) 2022 dan Karnival Kerjaya, di sini pada Sabtu.
Mengambil contoh seorang bapa dikenali Soo, 45, yang mendapat pekerjaan semula selepas penutupan syarikat, Ismail Sabri berkata kerajaan komited membantu rakyat Malaysia untuk ditempatkan semula ke bidang pekerjaan.
Perdana Menteri menambah, Inisiatif JaminKerja adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh.
Ia sekali gus menghasilkan pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur dan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara, kata Ismail Sabri.
“Malaysia sesungguhnya berada pada landasan yang betul dalam usaha pemulihan ekonominya melalui penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan baharu bagi memenuhi keperluan semasa pasaran buruh.
“Saya selaku Pengerusi Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yakin bahawa usaha NEC dalam mempertingkatkan momentum penciptaan pekerjaan serta merancakkan pasaran kerja secara amnya akan dapat diteruskan menerusi Inisiatif JaminKerja ini, yang seterusnya akan turut memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia khususnya kumpulan asnaf, B40 dan M40,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri berkata, inisiatif JaminKerja turut mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion.
Kerajaan ujar beliau, juga komited membantu komuniti usahawan yang menggaji dan mencipta peluang pekerjaan, supaya dapat terus berkembang dan membina semula perniagaan melalui inisiatif Semarak Niaga bernilai RM40 bilion.
Sebanyak 12,000 peluang pekerjaan membabitkan 50 majikan akan ditawarkan pada majlis pelancaran Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Karnival tersebut dianjurkan secara kerjasama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta agensinya.
Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, MySTEP serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.
Maklumat lanjut mengenai peluang pekerjaan, orang ramai boleh melayari portal Manfaat Bajet 2022 di Bajet 2022.